SIDOARJO, 3 Oktober – Angka korban runtuhan sekolah berasrama di Sidoarjo, Jawa Timur meningkat kepada 13 orang pada Jumaat dan puluhan lagi dikhuatiri masih terperangkap bawah runtuhan dalam kejadian Isnin lalu.
Keluarga mangsa yang berkumpul di lokasi kejadian memantau operasi mencari dan menyelamat menerusi skrin besar yang disediakan. Sebahagian mereka mendesak pasukan penyelamat mempercepatkan usaha mengeluarkan mangsa untuk pengebumian segera.
"Sudah lima hari! Kalau tiada lagi tanda hidup, kami mahu kebumikan keluarga kami sekarang," jerit salah seorang waris, menurut laporan AFP.
Bangunan sekolah bertingkat itu runtuh ketika pelajar bersiap untuk menunaikan solat Asar. Gegaran kuat dari runtuhan turut dirasai penduduk sekitar.
Ketua Operasi Menyelamat Surabaya, Nanang Sigit, mengesahkan lapan lagi mayat ditemukan pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan 13 maut dan 116 orang diselamatkan.
Dua pelajar lelaki ditemui tertimbus di kawasan wuduk sekolah, manakala seorang lagi mangsa ditemui berdekatan lokasi tersebut. Pegawai sebelum ini menyatakan 59 orang dikhuatiri hilang sebelum penemuan mayat terbaharu hari ini.
Operasi menyelamat juga terjejas akibat gempa bumi pada malam Selasa, namun disambung semula dengan bantuan kren selepas tempoh 72 jam berakhir.-AFP