fb fb fb fb fb

Sekolah tahfiz di Indonesia tawar pembelajaran al-Quran guna bahasa isyarat

(Abu Kahfi sedang mengajar anak muridnya membaca al-Quran di sekolah
 pondok di Sleman/AFP)

YOGYAKARTA, 5 Julai- Meskipun ada pelajar sedang belajar membaca al-Quran di sebuah sekolah pondok di pinggir kota Yongyakarta, Indonesia, bunyi bacaan kitab suci umat Islam itu tidak kedengaran.

Ia kerana sekolah agama itu menempatkan kanak-kanak pekak dan pelajar di sekolah itu menggunakan bahasa isyarat untuk belajar membaca al-Quran.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia, sekolah pondok adalah sebahagian daripada sistem pendidikan di Indonesia, dengan kira-kira empat juta pelajar bersekolah di 27,000 institusi seumpama itu di seluruh negara.

Sekolah agama itu antara institusi yang menawarkan pendidikan agama untuk pelajar kurang upaya yang mengalami masalah pendengaran atau pekak.   

“Semuanya datang daripada kebimbangan saya apabila mendapati kanak-kanak pekak tidak tahu agama mereka,” kata pengasas sekolah, Abu Kahfi.

Lelaki berumur 48 tahun itu menubuhkan sekolah tersebut pada akhir 2019 selepas menyedari kumpulan itu tidak mempunyai akses kepada pendidikan Islam.

Sekolah itu kini menempatkan 115 orang murid lelaki dan perempuan dari seluruh kepulauan itu dalam satu cita-cita menjadi seorang hafiz atau seorang yang boleh membaca al-Quran dalam ingatannya.

Ketika pembelajaran, mereka hanya duduk bersila di lantai sambil menggerakkan tangan sebagai ekspresif.

Keadaan agak sunyi dan sesekali hanya terdengar suara kegembiraan dari dalam hati dan tepuk ria selepas murid berjaya membaca al-Quran dihadapan Abu Kahfi dengan betul.

"Ia satu pembelajaran agama yang amat menggentarkan untuk kanak-kanak yang tidak pernah belajar ilmu agama atau al-Quran, dan bahasa ibunda mereka adalah Indonesia.

“Kesukaran amat besar,” kata Abu Kahfi.


(Pelajar perempuan sedang menghafal al-Quran menggunakan bahasa isyarat/AFP)

-PERASAAN MALU HILANG-

Bukan sahaja pelajar lelaki, pelajar perempuan yang mengalami masalah sama turut belajar al-Quran, namun di sudut lain, sedikit berjauhan dengan kumpulan pelajar lelaki.

Bagi Laela Dhiya Ulhaq, 20 tahun, belajar di sekolah memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada ke dua ibu bapanya.

"Saya mahu ke syurga bersama ibu dan ayah saya... Saya tidak mahu meninggalkan tempat ini. Saya bercita-cita menjadi seorang guru di sini," kata pelajar paling tua sekolah itu kepada wartawan AFP.

Walaupun orang lain boleh menghafal suku kata untuk membaca teks (al-Quran) dengan kuat, individu yang cacat pendengaran mesti menghafal setiap isyarat tunggal, ke semua 30 juzuk ayat kitab suci itu.

Muhamad Rafa, 13 tahun yang sudah dua tahun belajar di sekolah itu, mengunakan isyarat jarinya untuk tanda bacaan berbeza bagi mengingat ayat al-Quran di hadapannya.

“Saya amat gembira bersekolah di sini. Di rumah sangat sunyi, tiada siapa untuk bercakap kerana saya sahaja yang pekak, semua orang normal,” kata Rafa, yang sudah menghafal sembilan juzuk al-Quran, kepada wartawan AFP melalui jurubahasa. 

Bagi pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak 1 juta rupiah atau kira-kira RM294.00, mereka ditawarkan belajar secara percuma hasil wang derma juga atas inisiatif Abu Kahfi.

Selain ilmu al-Quran, mereka juga mempelajari undang-undang Islam, matematik, sains dan bahasa asing supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pihak sekolah juga berdepan cabaran untuk meningkatkan keyakinan pelajar sebagai anggota masyarakat yang bermasalah pendengaran.

“Dahulu, anak saya mengalami masalah merendah diri kerana dia tahu dia berbeza,” kata Zainal Arifin ayah kepada Arfi, 11 tahun yang belajar di sekolah itu.

“Sejak dia sekolah disini, tiada lagi rasa malu apabila berdepan orang ramai.  Dia beritahu saya, Tuhan menjadikan dia seperti ini dan dia menerima seadanya.” –AFP

Media Baharu