fb fb fb fb fb

Perancis panggil pulang 35 kanak-kanak dari kem di Syria

(Foto Fail REUTERS)

PARIS, 5 Julai- Perancis mengumumkan untuk memanggil pulang atau repatriasi 35 orang kanak-kanak dan 16 wanita dari kem pelarian di Syria yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan Daesh.

"Perancis hari ini mengumumkan kepulangan 35 individu bawah umur yang berada di kem timur laut Syria. Operasi ini termasuk 16 orang wanita berstatus ibu dari kem sama”, menurut kenyataan Kementerian Luar Perancis.

Kenyataan itu menjelaskan individu bawah umur itu akan diserahkan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak manakala wanita berstatus ibu akan berdepan tindakan mahkamah.

Kumpulan hak asasi manusia sudah lama menggesa kerajaan Perancis untuk membawa pulang kira-kira 200 kanak-kanak yang berada di kem tahanan sama, sama ada dibawa ke wilayah militan Daesh oleh ibu bapa mereka atau lahir ketika pertempuran.


(Foto REUTERS)

Mereka ditahan di kem kendalian Kurdish di timur laut Syria; kem yang berdepan masalah kekurangan bekalan makanan berkhasiat dan penyebaran penyakit.

September lalu, kumpulan ‘Save the Children’ melaporkan salah satu kem pelarian terbesar paling sesak di Al-Hol, merekodkan dua kanak-kanak mati setiap minggu.

Pihak berkuasa Perancis berhujah bahawa isu keselamatan antara yang paling dibimbangi, setelah mengalami beberapa siri serangan didakwa militant Daesh, termasuk serangan pada November 2015 di dewan konsert Bataclan dan sasaran lain di sekitar Paris sehingga menyebabkan 130 orang terbunuh.

Sebelum operasi penghantaran pulang pada Selasa, Perancis telah memanggil pulang 126 kanak-kanak sejak 2016. -AFP

Media Baharu