BAGHDAD, 9 November - Anggota pasukan keselamatan Iraq menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian awal pada Ahad, dua hari lebih awal daripada pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.
Pengarah Pilihan Raya Daerah Karrada, Baghdad, Younis Gumar berkata proses pengundian awal itu membolehkan anggota keselamatan, pelarian serta banduan menunaikan hak mengundi mereka lebih awal.
“Pusat kami berkhidmat untuk kira-kira 2,500 pengundi, dan kami berharap jumlah ini akan terus meningkat dalam beberapa jam akan datang,” katanya di sini.
Di beberapa pusat mengundi di Baghdad dan Mosul, anggota pasukan keselamatan dilihat berbaris untuk mengundi melalui sistem pengundian elektronik yang diperkenalkan tahun ini bagi mengelak sebarang manipulasi dalam pengiraan undi.
Pilihan Raya Umum Iraq kali ini merupakan pilihan raya parlimen keenam sejak kejatuhan Saddam Hussein pada tahun 2003 berikutan pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat. -REUTERS