fb fb fb fb fb

Taufan Super Fung-wong: Dua maut di Filipina

FOTO REUTERS

CAUAYAN CITY, 9 November - Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut di Filipina apabila Taufan Super Fung-wong melanda bahagian tengah dan timur negara itu.

Hujan lebat serta angin kencang turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di sebahagian besar wilayah Bicol menjelang jangkaan pendaratan taufan tersebut di utara Luzon.

Lebih sejuta penduduk telah dipindahkan daripada kawasan berisiko sebelum Taufan Super Fung-wong dijangka mendarat di wilayah Aurora seawal malam Ahad manakala pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan pemindahan.

Menurut pihak berkuasa, dengan angin kencang sekuat 185 kilometer per jam (km/j) dan tiupan sehingga 230 km/j, Fung-wong telah melanda banyak kawasan Luzon dengan hujan lebat.

Beberapa kawasan di seluruh Luzon, pulau paling padat penduduk di Filipina, telah diletakkan di bawah tahap amaran ribut tertinggi dan kedua tertinggi, manakala Metro Manila dan wilayah berdekatan kekal bawah kategori tiga. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM