GAZA, 9 November – Sekurang-kurangnya 241 rakyat Palestin terbunuh, manakala 614 lagi cedera akibat serangan Israel sejak 11 Oktober lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 meningkat kepada 69,169 orang, manakala 170,685 lagi mengalami kecederaan.
"Sebanyak 10 kematian turut dilaporkan di hospital-hospital di wilayah berkenaan dalam tempoh 72 jam yang lalu," menurut kenyataan kementerian itu.
Gencatan senjata antara Israel dan Hamas, yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober, dilaporkan telah mengurangkan serangan Israel, namun belum dihentikan sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel menyerahkan 15 mayat rakyat Palestin kepada Gaza melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), sehari selepas pejuang Palestin memulangkan mayat seorang warga Israel di bawah perjanjian gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.
Dengan penyerahan terbaharu itu, jumlah keseluruhan mayat rakyat Palestin yang dipulangkan ke Gaza kini mencecah 300, dengan sebanyak 89 mayat telah dikenal pasti setakat ini.- REUTERS