fb fb fb fb fb

Senat AS teruskan sidang hingga capai perjanjian akhiri penutupan kerajaan

FOTO AFP

MOSCOW, 9 November - Sidang Senat Amerika Syarikat (AS) akan diteruskan sehingga persetujuan dicapai bagi menyambung semula operasi kerajaan persekutuan, lapor akhbar "The Hill" yang memetik kenyataan Ketua Majoriti Republikan di Senat, John Thune, menurut Sputnik/RIA Novosti.

Thune memberitahu media pada Sabtu bahawa para senator akan meneruskan sesi persidangan tanpa henti sehingga satu perjanjian dicapai bagi membolehkan kerajaan kembali berfungsi seperti biasa.

Dilaporkan pada asalnya dewan tertinggi Kongres dijadual ditangguhkan sempena Hari Veteran pada 11 Nov.

Tahun fiskal baharu di AS bermula pada 1 Oktober, namun Kongres gagal mencapai persetujuan berhubung belanjawan, menyebabkan sebahagian agensi kerajaan tidak dapat beroperasi.

Penutupan kerajaan di AS bermakna pemberhentian sementara operasi beberapa agensi kerajaan yang dibiayai secara langsung oleh Kongres akibat ketiadaan kelulusan belanjawan baharu.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini menegaskan bahawa beliau mungkin menggunakan tempoh penutupan kerajaan itu untuk melaksanakan pemberhentian besar-besaran dan pemotongan bayaran.

Menurut Trump, kegagalan mencapai kata sepakat mengenai belanjawan berpunca daripada pendirian Parti Demokrat, manakala White House memanfaatkan keadaan semasa untuk menamatkan beberapa program yang tidak disokong oleh Republikan.

Pengarah Majlis Ekonomi Negara White House, Kevin Hassett memberi amaran bahawa penutupan kerajaan yang berterusan boleh mengakibatkan kerugian sehingga US$15 bilion seminggu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. -BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM