fb fb fb fb fb

Sekolah bot terapung jadi harapan anak miskin di Bangladesh

Kini terdapat 26 sekolah terapung beroperasi di seluruh Bangladesh/Foto arkib

CHALAN BEEL, BANGLADESH, 2 November – Sebuah sekolah terapung berkuasa solar yang beroperasi di kawasan lembangan Chalan Beel terus menjadi harapan bagi anak-anak daripada keluarga miskin untuk mendapatkan pendidikan meskipun berdepan cabaran banjir sepanjang tahun.

Sekolah unik itu berlayar menghampiri tebing setiap pagi untuk menjemput pelajar ke kelas yang dibina sepenuhnya di atas bot kayu.

Di dalam ruang belajar serba sederhana itu, murid-murid dilihat tekun menulis huruf dalam buku latihan sambil mengulangi pelajaran yang diajar guru mereka.

Guru, Shahnaz Parveen, berkata kebanyakan kanak-kanak di kawasan itu tidak berpeluang bersekolah akibat kemiskinan dan keadaan geografi yang sukar.

“Disebabkan kemiskinan, ramai antara mereka berhenti belajar sebelum sempat memulakan kehidupan pendidikan. Kami berusaha membawa anak-anak ini ke sekolah agar mereka tidak tercicir,” katanya.

Program pendidikan berasaskan air itu dijalankan oleh Shidhulai Swanirvar Sangstha, pertubuhan bukan untung yang diasaskan oleh arkitek Mohammed Rezwan sejak 2002.

Kini terdapat 26 sekolah terapung beroperasi di seluruh Bangladesh, memberi manfaat kepada lebih 2,340 pelajar setiap tahun.

Kakitangan sekolah, Madhusudan Karmakar, berkata setiap bot menjalankan tiga sesi pembelajaran sehari meliputi pelajar Darjah Satu hingga Lima, selain turut menyediakan perpustakaan, pusat kesihatan dan pusat latihan terapung.

Inisiatif pendidikan luar biasa itu baru-baru ini menerima Anugerah Literasi Konfusius UNESCO 2025, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan besar mereka dalam memperluas akses pendidikan kepada komuniti luar bandar dan miskin di Bangladesh.

GRACE AISYAH KEDAYAN