BUSAN, 2 November - Semakin ramai individu memilih kerjaya dalam industri pengurusan kematian, susulan perubahan demografi besar-besaran di Korea Selatan yang merekodkan hampir separuh penduduknya berumur 50 tahun ke atas dan kadar kelahiran antara terendah di dunia.
Deretan keranda tersusun rapi di dalam sebuah bilik kuliah universiti di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan — bukan untuk upacara sebenar, tetapi sebagai latihan kepada pengurus pengebumian di negara yang berdepan dengan proses penuaan penduduk ketara.
Pelajar di Institut Sains dan Teknologi Busan dilihat berhati-hati menutup patung dengan kain pengebumian tradisional Korea, melicinkan fabrik seolah-olah ia menyentuh kulit manusia sebenar sebelum menurunkannya perlahan ke dalam keranda.
"Memandangkan masyarakat kita semakin tua, saya fikir permintaan terhadap pekerjaan seperti ini pasti akan meningkat," kata Jang Jin-yeong, 27 tahun, pelajar jurusan Pentadbiran Pengebumian.
Seorang lagi pelajar, Im Sae-jin, 23 tahun, berkata pengalaman melihat pengurusan mayat neneknya mendorong dia memilih bidang itu.
"Saya berasa amat terharu melihat bagaimana mereka menyediakan persiapan terakhir beliau sebelum dikebumikan," katanya.
Hidup dan mati sendirian
Semakin ramai rakyat Korea Selatan kini hidup — dan meninggal dunia — sendirian. Rumah bujang kini merekodkan kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara maju keempat terbesar di Asia itu.
Fenomena itu melahirkan pekerjaan baharu — pembersih profesional yang dipanggil untuk mengemas rumah individu yang meninggal dunia bersendirian, kebanyakan ditemukan beberapa minggu atau bulan selepas kematian.
Bekas pemuzik klasik, Cho Eun-seok, 47 tahun, berkata beliau telah membersihkan banyak rumah yang ditinggalkan penghuni tanpa disedari.
"Rumah mereka menceritakan kisah kehidupan mereka," katanya.
Cho sempat menceritakan pengalaman menyentuh hati ketika melakukan pekerjaan itu. Dia menemui — ratusan botol soju yang ditutup rapi dan kotak hadiah berdebu yang tidak pernah dibuka.
Korea Selatan mencatat kadar bunuh diri tertinggi dalam kalangan negara maju, dan banyak kes 'kematian sunyi' (lonely deaths) melibatkan individu akibat tekanan hidup.
Cho turut menerima panggilan daripada syarikat sewa kereta terpakai untuk membersihkan kenderaan yang menjadi lokasi individu yang menjadikannya sebagai tempat bunuh diri.
Beliau kini sedang membangunkan alat pengesan awal bagi kematian tanpa pengawasan, bagi mengelakkan risiko alam sekitar, serangan serangga dan pelupusan besar-besaran barangan isi rumah.
"Pada musim panas, bau merebak dengan cepat, dan tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya.
Cerita kisah pembersihan
Sebuah rumah milik wanita berusia lewat 80-an yang baru meninggal dunia, ruang tamunya masih penuh dengan kisah semasa hayatnya — penyaman udara lama, botol kosmetik, tandas mudah alih dan beberapa batang tongkat di tepi pintu. Namun kerja pembersihan bukan sekadar tugas fizikal.
Kim Seok-jung, seorang pekerja berpengalaman, pernah menemukan koleksi lagu tidak dikongsi oleh seorang penulis lirik yang telah meninggal dunia. Koleksi yang tidak sempat dikeluarkan itu dijadikan sebagai muzik lagu kenangan untuk keluarga si mati.
Cho pula teringat kisah seorang pelajar sekolah menengah yang tinggal sendirian di bilik kecil (gosiwon) selepas melarikan diri daripada penderaan keluarga.
"Saya datang setiap bulan untuk membersihkan biliknya. Dia mengalami kemurungan dan tidak mampu menguruskan diri," katanya.
Bilik itu dipenuhi longgokan barang dan makanan reput, namun remaja itu menjaga sebuah kotak kecil dengan penuh kasih dan meminta Cho agar tidak membuangnya. Malangnya, setahun kemudian, gadis itu bunuh diri di bilik itu.
Apabila Cho kembali, beliau menemui seekor hamster hidup di dalam kotak kecil tersebut — di sebelahnya terletak gitar yang pernah digunakan gadis itu untuk mengejar impian menjadi pemuzik.
"Saat saya melihat hamster itu, perkara pertama dalam fikiran saya hanyalah untuk menyelamatkannya dan terus menjaganya," kata Cho dengan sebak.
Kim Doo-nyeon, seorang veteran dalam sektor itu berkata semakin ramai anak muda kini menyertai bidang itu.
"Apabila orang tinggal bersama, peninggalan mereka masih kekal. Tetapi apabila seseorang meninggal dunia sendirian, segalanya mesti dibersihkan dan dibuang," ujarnya.
Kembali ke kelas di Busan, pelajar Im mengakui sedikit rasa takut terhadap kerjaya yang dipilih.
"Saya takut. Walau sebanyak mana pun kita bersedia, berdepan dengan jasad manusia tetap menakutkan," katanya.- AFP