fb fb fb fb fb

Pete Hegseth ke Hanoi, runding bekal senjata AS-Vietnam

Pete Hegseth, tiba di Hanoi pada Ahad bagi mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Vietnam/ REUTERS

HANOI, 2 November - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, tiba di Hanoi pada Ahad bagi mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Vietnam, ketika rundingan berlarutan antara kedua-dua negara mengenai kemungkinan pembekalan peralatan ketenteraan Amerika termasuk pesawat pengangkut dan helikopter.

Menurut seorang pegawai Vietnam yang dimaklumkan mengenai lawatan itu, Hegseth dijadualkan bertemu dengan Ketua Parti Komunis Vietnam, To Lam, Presiden Vietnam Luong Cuong, dan Menteri Pertahanan Phan Van Giang.

Sumber rasmi Vietnam dan Amerika Syarikat memaklumkan, rundingan mengenai bekalan senjata Amerika dijangka menjadi agenda utama, termasuk perbincangan mengenai pesawat pengangkut tentera Lockheed Martin C-130 Hercules.

Seorang pegawai Amerika turut mengesahkan bahawa isu berkaitan pesawat C-130 akan dibangkitkan dalam perbincangan itu.

Sumber Vietnam lain memaklumkan pembekalan helikopter buatan Amerika juga mungkin menjadi sebahagian daripada perbincangan, khususnya model Lockheed Martin S-92 dan Boeing Chinook.

Bagaimanapun syarikat Boeing enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sebarang pertanyaan kepada kerajaan Vietnam dan Amerika Syarikat.

Pihak kerajaan Vietnam, Pentagon, serta Lockheed Martin juga tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan komen di luar waktu pejabat.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI