fb fb fb fb fb

Sekat pautan berita jejaskan keselamatan penduduk

(Meta dituduh membahayakan nyawa dengan menyekat pautan berita di Kanada/AFP)

MONTREAL, 26 Ogos- Meta dituduh membahayakan nyawa dengan menyekat pautan berita pada saat genting, apabila beribu-ribu penduduk Kanada meninggalkan rumah mereka dan terdesak untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kebakaran seperti yang dikongsi secara meluas di Facebook sebelum ini.

Keadaan itu "berbahaya," kata Kelsey Worth, 35, salah seorang daripada hampir 20,000 penduduk Yellowkife dan beribu-ribu lagi di pekan-pekan kecil yang diarah mengosongkan Wilayah Barat Laut ketika kebakaran hutan semakin merebak.

Dia menggambarkan kepada AFP betapa "sangat sukar" bagi dirinya dan orang lain yang dipindahkan untuk mencari maklumat sahih tentang kebakaran di seluruh wilayah berhampiran Artik dan bahagian lain di Kanada.

"Tiada siapa yang dapat mengetahui sama ada berita yang diterima benar atau tidak," katanya.

"Dan apabila anda berada dalam situasi kecemasan, masa adalah penting," katanya sambil menjelaskan bahawa ramai penduduk Kanada sehingga kini bergantung pada media sosial untuk berita.

Meta pada 1 Ogos mula menyekat pengedaran pautan berita dan artikel di platform Facebook dan Instagramnya sebagai tindak balas kepada undang-undang baharu yang memerlukan gergasi digital membayar penerbit untuk kandungan berita.

Syarikat itu telah mengadakan perbincangan secara maya dengan kerajaan Kanada berhubung rang undang-undang yang diluluskan pada bulan Jun tetapi hanya berkuat kuasa tahun depan.

Rang undang-undang itu bertujuan menyokong sektor berita Kanada yang bergelut dengan kehilangan hasil iklan sejak sedekad lalu sehingga memaksa beratus-ratus syarikat penerbitan ditutup.

Ia mewajibkan syarikat seperti Meta dan Google membuat tawaran komersial yang adil untuk berita dan maklumat , dianggarkan dalam laporan kepada parlimen bernilai Can$330 juta (US$250 juta) setahun yang dikongsi di platform mereka.

Meta bagaimanapun berpendapat rang undang-undang itu banyak kelemahan.

Kandungan yang dikongsi saluran berita di platform Facebook dan Instagram dapat menarik pembaca dan ini memberi manfaat kepada mereka saluran berkenaan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau minggu ini menyerang Meta, memberitahu wartawan bahawa "tidak dapat dibayangkan bahawa syarikat seperti Facebook memilih untuk mengutamakan keuntungan korporat daripada (keselamatan) dan memastikan warga Kanada dimaklumkan tentang perkara seperti kebakaran hutan."

Hampir 80% daripada semua hasil pengiklanan dalam talian di Kanada dikuasai oleh Meta dan Google.

Pengarah Radio Kabin, Ollie Williams menggelar langkah Meta menyekat perkongsian berita sebagai "bodoh dan berbahaya."

Beliau mencadangkan agar Meta menarik balik larangan itu buat sementara waktu demi kepentingan memelihara nyawa dan "tidak dikenakan penalti kewangan kerana undang-undang belum berkuat kuasa lagi".

Nicolas Servel, di Radio Taiga, sebuah stesen berbahasa Perancis di Yellowknife, menyatakan bahawa beberapa orang telah menemukan cara untuk memintas sekatan Meta.

Mereka "menemukan cara lain untuk berkongsi" maklumat, katanya, seperti mengambil tangkapan skrin artikel berita dan berkongsinya daripada akaun media sosial peribadi, bukannya korporat.

Beberapa akhbar utama di Kanada seperti Globe and Mail dan Toronto Star telah melancarkan kempen untuk cuba menarik pembaca terus ke portal mereka.

Tetapi bagi kebanyakan saluran berita yang lebih kecil, penyelesaian terbukti mencabar kerana platform media sosial telah berakar umbi. -AFP

(orang ramai berdiri di hadapan logo Meta semasa acara pelancaran di pejabat korporat Meta
di Berlin pada 6 Jun 2023/File AFP)

Media Baharu