fb fb fb fb fb

Junta Niger tidak punyai kuasa usir duta: Perancis

(FOTO REUTERS)

PARIS, 26 Ogos- Perancis mempersoalkan rancangan pemerintah tentera Niger mengusir dutanya di Niamey, selepas pihak junta memberi utusan mereka 48 jam untuk meninggalkan negara itu.

"Perancis telah mengambil perhatian terhadap permintaan mereka," kata kementerian luar Perancis kepada AFP.

"Pihak junta tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Pelantikan duta adalah bawah bidang kuasa pihak berkuasa Niger yang dipilih secara sah."

"Kami sentiasa menilai keadaan keselamatan dan operasi kedutaan kami," tambah kementerian itu.

Awal Jumaat, pemerintah tentera yang merampas kuasa di Niamey pada 26 Julai memberi duta Perancis Sylvain Itte 48 jam untuk meninggalkan Niger.

Ia sebagai tindak balas kepada keengganan beliau memenuhi undangan untuk bermesyuarat dengan menteri luar junta dan "tindakan lain kerajaan Perancis yang bertentangan dengan kepentingan Niger".

Perancis secara konsisten menyokong gesaan blok Afrika Barat ECOWAS supaya kuasa diserahkan kembali kepada Presiden Mohamed Bazoum yang kini ditahan bersama keluarganya di istana presiden.

Perancis mempunyai 1,500 anggota tentera berpangkalan di Niger yang telah membantu Bazoum memerangi pasukan pemberontak di negara itu selama bertahun-tahun.

ECOWAS mengenakan sekatan terhadap rejim baharu dan mengancam akan menggunakan kuasa ketenteraan untuk menghapuskannya jika pemerintah baharu tidak menyerahkan semula kuasa kepada Bazoum. -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu