fb fb fb fb fb

Sejarah Antakya purba berulang akibat gempa bumi

ANTAKYA, 20 Februari- Bandar purba Turkiye, Antakya sebelum ini tercatat dalam sejarah dan ketamadunan selama lebih 2,000 tahun di wilayah selatan Hatay sebelum musnah akibat gempa bumi dahsyat suatu ketika dahulu.

Kini Antakya moden yang dibina di atas runtuhan ketamadunan lalu menerima nasib sama kerana bandar itu terletak di zon yang sering berlaku gempa bumi.

Kira-kira 80 peratus bangunan tempatan runtuh semasa bencana yang menggegarkan selatan negara tersebut awal bulan ini, yang turut melenyapkan kebanyakan seni bina bersejarahnya.

Hüseyin, seorang penduduk tempatan yang terselamat memaklumkan, terlalu banyak kerugian yang ditanggung.

"Dulu ada restoran, kedai gunting rambut, kedai pakaian dan orang ramai pergi bekerja setiap hari.

Kini, kebanyakannya telah musnah," katanya.

Hüseyin berkata, dia dibesarkan dengan kisah bandar purba Antakya dan sejarah ketamadunannya dahulu boleh ditemui menerusi seni bina bangunan di kawasan itu.

Malangnya, gempa bumi pada 6 Februari lalu telah meragut kesemuanya termasuk rakan dan keluarganya di kawasan kejiranan.

"Kami tidak akan bertemu mereka lagi dan kami hanya boleh berharap mereka dapat kekal dalam ingatan kami untuk masa yang lama, kerana ia adalah kenangan indah," ujarnya lagi.

(Antara bangunan yang musnah akibat gempa di Antakya / Foto REUTERS)

Kesan dahsyat gempa bumi berkenaan menjadi parut yang berbekas di hati mereka yang terlibat.

Kebanyakan penduduk tidak menyangka akan kehilangan insan tersayang kerana sehari sebelum itu mereka berada dalam keadaan gembira bersama.

Seorang lagi penduduk, Ömer memberitahu, dia dan pasangannya dijadual melangsungkan perkahwinan kira-kira dua minggu lalu, namun kejadian gempa bumi berkenaan merubah segalanya.

“Perkahwinan kami ditetapkan pada 11 Februari, tetapi ibu tunang saya dan abangnya terbunuh secara tragis semasa bencana itu, jadi kami terpaksa mengebumikan mereka.

Masih terdapat 17 ahli keluarga dan rakan masih hilang dan mereka telah merancang untuk menghadiri majlis perkahwinan itu," ujarnya.

Kini, Ömer memutuskan untuk tinggal sementara di Antakya bagi mencari dan menunggu maklumat mengenai mereka yang masih hilang sebelum meninggalkan kawasan itu untuk membina kehidupan baru.

Menurut Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan, Yunus Sezer, angka kematian di Turkiye telah meningkat kepada 41,020 orang.

Manakala, seramai 430,000 orang di Hatay telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.-REUTERS

Media Baharu