GENEVA, 10 Mei - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) mengkritik cadangan terbaru Israel dan Amerika Syarikat untuk mengambil alih pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Jurucakap UNICEF, James Elder menegaskan, tindakan itu hanya akan menambah penderitaan kanak-kanak dan keluarga di Gaza.
Jelasnya, pelan yang dibentangkan kepada komuniti bantuan itu berisiko memaksa penduduk membuat pilihan sukar antara pemindahan dan kematian.
Beliau juga memberi amaran, penggunaan pusat pengagihan seperti yang dicadangkan hanya akan meningkatkan perpindahan penduduk dan membahayakan golongan rentan.
Elder sebaliknya menggesa sekatan bantuan oleh Israel yang sudah berlanjutan lebih dua bulan dihentikan segera.
Ia bagi membolehkan bantuan menyelamatkan nyawa disalurkan.-REUTERS