fb fb fb fb fb

Eksport China naik 8.1 peratus pada April walaupun Amerika Syarikat tingkatkan tarif

Kapal kargo China / AFP

BEIJING, 9 Mei- Eksport China meningkat lebih tinggi daripada jangkaan pada April meskipun ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat terus memuncak dan perdagangan dua hala dengan Washington mencatatkan penyusutan ketara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Eksport meningkat sebanyak 8.1 peratus tahun ke tahun dalam nilai dolar, menurut pihak berkuasa kastam China pada Jumaat. Import pula mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.2 peratus, menjadikan lebihan dagangan bagi bulan itu berjumlah US$96 bilion.

Data ini jauh mengatasi jangkaan pasaran, yang menjangkakan pertumbuhan eksport yang lebih perlahan serta penurunan import yang lebih besar.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat bagaimanapun menjunam susulan gelombang tarif baharu yang diperkenalkan pada April. Presiden AS Donald Trump mengenakan duti tambahan sehingga 145 peratus ke atas barangan China, mendorong Beijing bertindak balas dengan pelaksanaan tarif sehingga 125 peratus ke atas import dari AS serta sekatan eksport baharu terhadap bahan mentah kritikal.

Akibatnya, eksport China ke AS merosot sebanyak 21 peratus pada April berbanding tahun sebelumnya, manakala import dari AS menurun 13.8 peratus, menurut data rasmi.- BERNAMA-dpa

MOHAMAD KHAIRIE KHALID