fb fb fb fb fb

Banjir, tanah runtuh di Brazil ragut sekurang-kurangnya 24 nyawa

SAO PAULO, 20 Februari- Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di Brazil meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa.

Menurut Datuk Bandar, Felipe Augusto, 23 maut di San Sebastiao, manakala seorang lagi gadis meninggal dunia di bandar Ubatuba.

Kerajaan negeri memaklumkan, 228 orang kehilangan tempat tinggal manakala 338 lagi telah dipindahkan di wilayah pantai utara bandar Sao Paulo.

Pihak berkuasa memaklumkan, seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan daripada banjir lumpur, begitu juga seorang wanita yang sedang melahirkan anak.

Gabenor negeri Sao Paulo, Tarcisio de Freitas mengisytiharkan darurat di lima bandar di sepanjang pantai dan memperuntukkan dana berjumlah $1.5 juta untuk operasi menyelamat.

(Pihak berkuasa menyelamatkan seorang mangsa yang terlibat kejadian
banjir dan tanah runtuh di Sao Paulo / Foto AFP)

Sementara itu, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva menerusi Twitternya memaklumkan, beliau akan melawat kawasan terjejas pada Isnin.

Lula berkata, kerajaan di semua peringkat akan berusaha untuk merawat mangsa yang tercedera, mencari mereka yang hilang dan memulihkan jalan raya, tenaga dan telekomunikasi.

San Sebastiao, yang terletak 200 kilometer di utara Sao Paulo menerima taburan hujan 60 sentimeter dalam tempoh 24 jam dan ia merupakan dua kali ganda jumlah yang kebiasaannya direkod dalam tempoh sebulan.

Rakaman di televisyen dan media sosial menunjukkan seluruh kawasan kejiranan termasuk jalan raya ditenggelami air, serpihan rumah dihanyutkan banjir lumpur dan kenderaan musnah akibat dihempap pokok.-AFP

Media Baharu