WASHINGTON, 19 September- Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menyaman pemilik dan pengendali kapal kargo yang merempuh jambatan Baltimore, bagi mendapatkan semula kos lebih US$100 juta, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sebuah kapal kargo merempuh satu daripada tiang sokongan Jambatan Francis Scott Key empat lorong di pelabuhan Baltimore pada 26 Mac, menyebabkan ia runtuh dan membunuh enam pekerja yang menjalankan pembinaan rutin pada masa itu.
Jabatan Kehakiman memfailkan tuntutan sivil terhadap Grace Ocean Private Limited dan Synergy Marine Private Limited, syarikat Singapura yang memiliki dan mengendalikan kapal itu.
"Jabatan Kehakiman komited untuk memastikan akauntabiliti bagi mereka yang bertanggungjawab atas kemusnahan Jambatan Francis Scott Key, yang mengakibatkan kematian tragis enam orang dan mengganggu infrastruktur pengangkutan dan pertahanan negara kita," kata Peguam Negara AS Merrick Garland.
"Dengan tuntutan sivil ini, Jabatan Kehakiman sedang berusaha untuk memastikan bahawa kos membersihkan saluran dan membuka semula Pelabuhan Baltimore ditanggung oleh syarikat yang menyebabkan kemalangan itu, bukan oleh pembayar cukai Amerika.
Kira-kira 50,000 tan keluli, konkrit dan asfalt telah dikeluarkan dari saluran dan dari kapal, semasa usaha pemulihan.
Menurut penemuan awal, terdapat masalah dengan bekalan kuasa kapal sebelum kemalangan itu.- BERNAMA-dpa