fb fb fb fb fb

Lufthansa lanjut gantung penerbangan ke Tel Aviv, Tehran, Beirut

Foto AFP

FRANKFURT, 19 September- Kumpulan syarikat penerbangan Jerman Lufthansa melanjutkan penggantungan penerbangan ke Tel Aviv, Tehran dan Beirut, ketika ketegangan serantau memuncak, susulan letupan alat kelui di Lubnan.

Lufhansa berkata penerbangan ke Tel Aviv dan Tehran akan dibatalkan sehingga 24 September, manakala penerbangan ke Beirut akan ditangguhkan sehingga 26 Oktober.

"Keselamatan penumpang dan anak kapal kami sentiasa menjadi keutamaan. Lufthansa akan menilai semula keadaan dalam beberapa hari akan datang", katanya.

Penumpang yang terjejas boleh membuat tempahan semula tiket secara percuma atau meminta bayaran balik.

Beratus-ratus alat kelui yang digunakan oleh anggota Hizbullah meletup di seluruh Lubnan pada Selasa lalu, membunuh sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan kira-kira 2,900 orang.

Kumpulan Lufthansa meliputi Swiss, Austrian Airlines dan Brussels Airlines, berulang kali mengubah suai jadual penerbangannya dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat. Tindakan sama juga dilaksana syarikat penerbangan lain.-AFP

ROSLINA BINTI DIN