fb fb fb fb fb

'Kami akan sembuh bersama'

HATAY, 20 Februari- Penduduk tempatan di sini berkumpul berdekatan runtuhan bangunan yang musnah akibat gempa bumi untuk menyaksikan kerja-kerja yang dilakukan pasukan penyelamat dan jengkaut.

Seorang pelajar, Meryem Yakisikli berkata, dia tidak pernah melihat 'kuasa besar yang boleh mengambil rumah, kawan dan saudara-mara sepanjang hidupnya'.

"Saya ingin katakan kami akan sembuh bersama kerana saya percaya seseorang tidak boleh sembuh sendiri.

Selagi kami bersama, tiada apa dapat memisahkan kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Hasan Uyanik berkata, dia berharap pasukan penyelamat dapat meneruskan operasi supaya mayat-mayat terlibat dapat disemadikan. 

"Kebanyakannya mungkin sudah meninggal dunia, tetapi sekurang-kurangnya mereka (penyelamat) boleh mencari mayat itu supaya dapat disemadikan," ujarnya.

(Hasan Uyanik menunjukkan kemusnahan di kawasan kejiranan ketika
dia berjalan di antara bangunan yang roboh / Foto REUTERS)

Sementara itu, orang ramai dilihat hanya berdoa untuk mangsa yang maut akibat bencana tersebut.

Usaha menyelamat di Turkiye semakin berkurangan pada Ahad.

Terdahulu, Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye, Yunus Sezer berkata, usaha mencari dan menyelamat sebahagian besarnya akan berakhir pada malam Ahad.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye dan Syria hampir dua minggu lalu telah mengorbankan lebih 46,000 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

Jumlah korban dijangka meningkat, dengan kira-kira 345,000 pangsapuri di Turkiye dilaporkan telah musnah dan ramai yang masih hilang.-REUTERS

Media Baharu