(Seorang pekerja kesihatan mengambil sampel swab daripada seorang lelaki untuk
diuji bagi COVID -19 di Chengdu, di wilayah Sichuan di barat daya China/AFP)
BEIJING, 2 September- Kira-kira 21 juta penduduk bandar Chengdu di China diarahkan berkurung dalam usaha pihak berkuasa memutuskan rantaian penularan COVID-19.
China adalah ekonomi utama terakhir yang terikat dengan dasar COVID sifar bagi menghentikan serangan virus dengan penutupan segera, ujian besar-besaran dan kuarantin yang panjang.
Chengdu menjadi bandar terbaharu yang mengumumkan penutupan, berkata dalam notis rasmi bahawa penduduk mesti "duduk diam di rumah pada dasarnya" dari 6:00 petang pada hari Khamis untuk memerangi gelombang baharu jangkitan.
Setiap isi rumah hanya dibenarkan menghantar seorang keluar untuk membeli barangan runcit dan barangan keperluan setiap hari, dengan syarat mereka telah diuji negatif dalam tempoh 24 jam sebelumnya, kata notis itu.
Ia menambah bahawa semua penduduk akan diuji untuk virus itu antara Khamis hingga Ahad, dan menggesa mereka supaya tidak meninggalkan bandar melainkan "sangat diperlukan".
"Keadaan kawalan wabak semasa adalah tidak normal, kompleks dan suram," kata pengumuman itu, sambil menambah bahawa langkah-langkah itu bertujuan untuk "membendung penularan wabak dan menjamin kesihatan rakyat".
(Sebuah lagi bandar di China ditutup berikutan gelombang baharu COVID-19)
Chengdu merekodkan 157 kes jangkitan tempatan baharu pada Khamis, dengan 51 daripadanya tidak menunjukkan gejala, kata pihak berkuasa tempatan dalam notis berasingan.
Pembuat kereta Sweden, Volvo berkata, penutupan itu memaksanya menutup sementara kilangnya di Chengdu, yang menggaji hampir 3,000 orang.
Gambar rak pasar raya yang kosong dan penduduk Chengdu berebut-rebut menimbun barangan runcit menjadi tular di media sosial. -AFP