(FOTO AFP)
WASHINGTON, 2 September- Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengesyorkan suntikan dos penggalak COVID-19 keluaran Pfizer dan Moderna untuk membendung jangkitan varian Omicron.
Vaksin anti-COVID generasi baharu ini menyasarkan kedua-dua jenis virus korona asal serta BA.4 dan BA.5, subvarian Omicron yang menyebabkan kebanyakan kes di AS.
Suntikan dos penggalak Pfizer-BioNTech disyorkan untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas dan Moderna untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
"Penggalak Covid-19 yang dikemas kini dirumuskan untuk melindungi dengan lebih baik daripada jangkitan varian COVID-19 yang paling baru beredar. Ia boleh membantu memulihkan perlindungan yang telah berkurangan sejak vaksinasi sebelumnya dan direka bentuk untuk memberikan perlindungan yang lebih luas terhadap varian yang lebih baharu," kata Pengarah CDC, Rochelle Walensky dalam satu kenyataan.
"Syor ini berdasarkan penilaian saintifik yang komprehensif dan perbincangan saintifik yang mantap," tambahnya.
(CDC syorkan dos penggalak generasi baharu, hadapi ancaman Omicron)
Versi baharu vaksin itu yang telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) semalam dijangka boleh didapati di AS seawal minggu depan.
Vaksin yang sedang dalam edaran menyasarkan strain awal virus yang pertama kali muncul di Wuhan, China.
Tetapi ia secara beransur-ansur terbukti kurang berkesan terhadap varian yang telah muncul dari semasa ke semasa, disebabkan evolusi virus yang pantas.
Berbeza dengan varian Alpha dan Delta yang akhirnya berkurangan, Omicron dan subvariannya telah mendominasi jangkitan di seluruh dunia pada tahun ini.