CALIFORNIA, 17 Januari - Satu rakaman visual dari udara menunjukkan sebuah bot yang terletak di pelabuhan Santa Cruz, California dihanyutkan arus deras susulan letusan gunung berapi Tonga yang terletak kira-kira 8,500 kilometer dari tempat kejadian.
Insiden itu dirakam menerusi drone pada Sabtu lalu.
Juruvideo drone berkenaan, Kaenon Hardy berkata, ombak deras yang dilihat menolak kapal tanpa kru di atasnya itu adalah sama seperti insiden tsunami yang berlaku akibat gempa bumi di Jepun pada 2011.
Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Kawasan Pelabuhan telah mengeluarkan amaran tsunami di Santa Cruz ekoran letusan gunung berapi Tonga yang mana ia kemudian ditarik semula.
Sebelum ini, gunung berapi yang berada dalam laut itu telah meletus pada Sabtu sehingga mencetuskan amaran tsunami dengan ombak setinggi 1.2 meter.
Pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk di persisiran pantai Tonga dan beberapa pulau di lautan Pasifik Selatan berpindah dengan segera.
Tonga merupakan sebuah pulau dengan didiami lebih 105,000 penduduk dan terletak 2,383 kilometer dari Barat Daya New Zealand.