FOTO: REUTERS
MANILA, 6 Januari - Susulan tindakan kontroversi ke atas suspek kes edar dan salah guna dadah di Filipina, Presiden Rodrigo Duterte menegaskan beliau tidak akan sesekali membuat permohonan maaf.
Setakat ini lebih 6,200 suspek kes dadah maut dalam operasi membanteras dadah sejak Duterte mengambil alih pentadbiran kerajaan Filipina pada Jun 2016, menurut laporan data rasmi kerajaan.
“Saya tidak akan sama sekali meminta maaf atas kematian berkenaan. Sama ada anda mahu bunuh atau penjarakan saya, saya tetap tidak akan memohon maaf,” katanya dalam ucapan mingguan.
Tindakan Duterte itu menerima kecaman hebat oleh kumpulan hak asasi dan pengkritik yang mendakwa penguat kuasa undang-undang membunuh suspek dadah secara berleluasa.
Namun, polis memaklumkan mereka yang terbunuh sama ada memiliki senjata dan menentang penahanan secara ganas.
"Saya berikrar untuk melindungi penguat kuasa undang-undang yang menjalankan tugas mereka," kata Duterte dalam ucapan rasmi pertamanya tahun ini.
Selain itu, beliau turut membenarkan anggota keselamatan untuk 'melawan semula' sekiranya nyawa diancam bahaya. –REUTERS