RIYADH, 10 Mac- Saudi Aramco pada Ahad melaporkan penurunan 24.7 peratus dalam keuntungan pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, akibat daripada harga minyak yang lebih rendah dan pemotongan pengeluaran.
Syarikat minyak gergasi itu berjaya memperoleh pendapatan bersih bernilai SAR454.7 bilion riyal Saudi pada 2023 berbanding SAR604.01 bilion riyal Saudi pada 2022.
"Penurunan terutamanya mencerminkan kesan harga minyak mentah yang lebih rendah dan jumlah jualan yang lebih rendah selain margin penapisan dan bahan kimia yang semakin lemah," kata Aramco.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 antara faktor yang menyebabkan harga minyak naik mendadak, pada lebih $130 setong pada tahun itu.
Menurut laporan Aramco, rekod keuntungan bagi tahun 2022 telah memberikan kerajaan lebihan belanjawan tahunan pertama dalam hampir sedekad.
"Pada 2023 kami mencapai pendapatan bersih kedua tertinggi kami. Ketahanan dan ketangkasan kami menyumbang kepada aliran tunai yang sihat dan tahap keuntungan yang tinggi, walaupun berlatarbelakangkan masalah ekonomi."
"Kami juga menyampaikan kepada pemegang saham kami dengan peningkatan 30% tahun ke tahun dalam jumlah dividen yang dibayar pada 2023," kata Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser dalam satu kenyataan.
Tahun lepas, harga turun kepada $85 setong, menyebabkan keuntungan tahun ke tahun susut sebanyak 23 peratus pada suku ketiga, 38 peratus pada suku kedua dan 19.25 peratus pada suku pertama tahun lalu untuk Aramco.
"Harga minyak mentah dijangka meningkat kepada sekitar $88 setong tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh ketidaktentuan global yang didorong oleh perang Israel-Hamas," kata firma Jadwa Investment yang berpangkalan di Riyadh dalam laporan yang diterbitkan pada Oktober.
"Ia boleh mencapai kepada kadar $90 setong menjelang akhir 2024," tambah Jadwa Investment.
Di bawah pentadbiran pemerintah de facto, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Arab Saudi telah berusaha untuk membuka dan mempelbagaikan sektor ekonomi yang bergantung kepada minyak, berbelanja besar terhadap projek yang digembar-gemburkan iaitu kota besar futuristik yang dikenali sebagai NEOM.
Aramco ialah sumber pendapatan utama bagi program reformasi ekonomi putera Mohammed yang bercita-cita tinggi, dikenali sebagai Wawasan 2030.- AFP