BAITULMAQDIS, 3 November - Hamas menyerahkan tiga lagi mayat tawanan kepada Israel, sebagai pertukaran tahanan-tawanan yang dijalankan di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza pada bulan lepas.
Mayat tersebut diterima oleh Palang Merah dan telah diserahkan kepada tentera Israel di Gaza.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Israel berkata, mayat berkenaan telah dibawa ke pusat forensik negara untuk proses pengecaman dan siasatan bagi menentukan punca kematian.
Hamas dalam kenyataan berkata, mayat berkenaan ditemukan di sepanjang laluan sebuah terowong di selatan Gaza.
Proses tersebut sukar kerana banyak mayat masih tertimbus di bawah runtuhan.
"Penyerahan mayat itu menunjukkan usaha bersungguh-sungguh Hamas untuk mempercepatkan pemulangan mayat tebusan," kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam satu kenyataan.
Sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, Hamas telah membebaskan semua tawanan yang masih hidup dan menyerahkan 17 daripada 28 mayat tawanan.