fb fb fb fb fb

Satelit pengintip Korea Selatan mulakan misi 'penuh' pantau Utara

Foto Reuters

SEOUL, 14 Ogos - Satelit pengintip tentera Korea Selatan yang pertama sedia untuk memulakan misi "penuhnya" memantau Utara, kata agensi perolehan senjata Seoul pada Rabu.

Satelit yang dilancarkan dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California pada Disember tahun lalu yang merupakan sebahagian daripada persaingan angkasa lepas yang semakin giat di semenanjung Korea.

Sejak pelancarannya, satelit peninjau Korea Selatan telah menjalani ujian operasi di angkasa lepas dan minggu ini "kesesuaian tempur" telah diluluskan oleh Kementerian Pertahanan.

Ia kini akan menjadi misi "sepenuhnya", yang melibatkan tangkapan "imej kawasan yang diingini (Utara)", kata Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) dalam satu kenyataan.

Satelit itu "dilengkapi dengan keupayaan untuk menganalisis dengan tepat pelbagai sasaran menerusi resolusi bertaraf dunia," tambah kenyataan itu.

Seoul berkata ia merancang untuk melancarkan empat satelit pengintip tambahan menjelang penghujung 2025 untuk meningkatkan kapasiti peninjaunya di Utara.

DAPA turut memaklumkan bahawa Seoul juga sedang membangunkan sistem mikrosatelit untuk mengesan tanda awal aktiviti luar biasa di Utara dan untuk memberikan amaran awal.

"Kami akan berusaha untuk memaksimumkan keupayaan aset pengawasan dan peninjauan bebas kami untuk mengekalkan kelebihan luar biasa ke atas satelit Korea Utara," kata agensi itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN