TOKYO, 21 Oktober – Ahli politik wanita Jepun, Sanae Takaichi, dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun pada Selasa, sekali gus memecahkan dominasi politik negara itu yang masih dikuasai lelaki, serta membuka jalan kepada perubahan dasar yang lebih konservatif.
Takaichi, sekutu rapat bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, hampir pasti memenangi undian di Parlimen selepas Parti Demokratik Liberal (LDP) pada Isnin mencapai perjanjian untuk bergabung dengan Parti Inovasi Jepun (Ishin) yang berhaluan kanan.
Menurut laporan media tempatan, beliau dijangka melantik seorang lagi anak didik Abe, Satsuki Katayama, sebagai Menteri Kewangan, sekali gus menjadikannya wanita pertama memegang jawatan itu dalam sejarah Jepun.
Pelantikan kedua-dua tokoh wanita itu menandakan perubahan besar dalam landskap politik negara 'Matahari Terbit itu yang sebelum ini menyaksikan wanita hanya menguasai kurang satu perlima kerusi Parlimen.
Namun, langkah berkenaan dijangka tidak dianggap sebagai kemajuan liberal, sebaliknya mencerminkan pendekatan lebih konservatif terhadap isu imigresen dan sosial.
Jepun kini berdepan tekanan inflasi selepas bertahun-tahun mengalami deflasi atau penurunan ekonomi yang mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat serta meningkatkan sokongan kepada parti-parti pembangkang berhaluan kanan seperti Sanseito.
Katayama kini mengetuai Suruhanjaya Penyelidikan Sistem Kewangan dan Perbankan LDP, memiliki pengalaman luas dalam bidang ekonomi serta kewangan, termasuk pernah berkhidmat sebagai Menteri Pemulihan Ekonomi Tempatan di bawah pentadbiran Abe.
Parlimen dijadual mengundi bagi memilih perdana menteri baharu pada Selasa.
Gabungan LDP-Ishin kini menguasai 231 kerusi di Dewan Rendah, dua kerusi kurang untuk mencapai majoriti mudah.
Namun angka itu dijangka mencukupi untuk memastikan kemenangan Takaichi.
Sementara itu, pasaran saham Jepun pula menyambut baik prospek kepimpinan Takaichi, yang dijangka meningkatkan perbelanjaan bagi merangsang ekonomi.
Indeks Nikkei mencatat rekod tertinggi baharu pada Selasa. - REUTERS