fb fb fb fb fb

Petro jumpa diplomat AS dalam usaha redakan krisis

Presiden Colombia bertemu dengan Pemangku Duta Amerika Syarikat di Bogota, John McNamara di istana Presiden di Bogota/AFP

BOGOTA, 21 Oktober– Presiden Colombia Gustavo Petro pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Pemangku Duta Amerika Syarikat di Bogota, John McNamara, dalam usaha meredakan krisis diplomatik yang tercetus susulan ugutan Presiden AS Donald Trump untuk mengenakan tarif baharu serta tuduhan terhadap Petro sebagai “ketua dadah haram”.

Menurut rakaman rasmi kerajaan Colombia, pertemuan itu diadakan di Kedutaan Amerika Syarikat di Bogota dan turut dihadiri oleh Duta Colombia ke AS, Daniel Garcia-Pena, yang baru-baru ini dipanggil pulang dari Washington berikutan kenyataan Trump yang dianggap menghina.

Krisis tersebut memuncak selepas Trump pada hujung minggu lalu mengumumkan rancangan menaikkan tarif terhadap Colombia serta menghentikan bantuan kewangan kepada negara Amerika Selatan itu.

Ketegangan hubungan kedua-dua negara semakin meningkat susulan serangan tentera AS ke atas kapal yang didakwa membawa dadah, yang telah mencetuskan kemarahan Petro.

Beliau mengecam pengeboman terbaharu yang meragut tiga nyawa, dan menegaskan bahawa kapal tersebut milik sebuah keluarga miskin, bukannya kumpulan pemberontak seperti yang didakwa oleh pegawai AS. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD