PARIS, 21 Oktober – Polis Perancis memperhebat usaha memburu sekumpulan pencuri yang melarikan barang kemas diraja dari Muzium Louvre dalam rompakan Ahad lalu.
Menurut pihak berkuasa, 60 pegawai penyiasat kini menumpukan siasatan kepada kemungkinan kumpulan jenayah terancang dalang di sebalik kejadian itu, yang menyaksikan sembilan barangan kemas bernilai tinggi dicuri.
Antara yang dicuri termasuk mahkota milik Maharani Eugenie, isteri kepada Napoleon III, yang dihiasi lebih 1,300 butir berlian dan 56 zamrud.
Mahkota berkenaan dijumpai terjatuh di jalan ketika suspek melarikan diri menaiki skuter.
Rakaman kamera litar tertutup di sekitar Louvre dan lebuh raya utama Paris kini diperiksa untuk mengesan suspek yang terlibat.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, berkata pihak penyiasat sedang meneliti banyak rakaman video susulan kejadian berkenaan.
Rompakan berkenaan yang hanya mengambil masa tujuh minit itu turut mencetuskan perdebatan mengenai kelemahan keselamatan di muzium-muzium Perancis, selepas dua kes rompakan dilaporkan bulan lalu.
Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin, mengakui terdapat kelemahan keselamatan di Muzium Louvre.
“Apa yang pasti, kami gagal menghalang kejadian ini. Pencuri berjaya meletakkan lori pengangkat barang di tengah kota Paris dan memanjat masuk untuk mencuri permata bernilai tinggi,” katanya kepada radio tempatan.
Berdasarkan laporan audit kerajaan Perancis bagi tahun 2019 hingga 2024, hanya 25% daripada satu bahagian (sayap) Muzium Louvre yang mempunyai kamera keselamatan atau CCTV.
Dalam kejadian tersebut, suspek dikatakan tiba sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan), iaitu 30 minit selepas muzium dibuka.
Mereka menggunakan trak dan tangga untuk memanjat ke Galeri Apollo selain memotong tingkap dan membuka bekas pameran.
Muzium yang terkenal dengan lukisan Mona Lisa itu dijangka ditutup sehingga Rabu.
Penutupan berkenaan menyebabkan ramai pelancong kecewa dan terpaksa menukar semula tempahan tiket.
Menurut Kementerian Kebudayaan Perancis, lapan barangan berharga lain turut dicuri termasuk rantai zamrud dan berlian milik Maharani Marie-Louise serta diadem bertatah hampir 2,000 berlian milik Maharani Eugenie.
Presiden rumah lelong Drouot, Alexandre Giquello, berkata barangan curi itu mustahil dijual semula dalam keadaan asal kerana sangat terkenal dan mudah dikesan.
Rompakan itu merupakan kes kecurian pertama di Louvre sejak 1998, selepas sebuah lukisan oleh Camille Corot hilang dan tidak pernah ditemui semula. - AFP
Dalam kejadian berasingan bulan lalu, penjenayah mencuri sampel emas bernilai AS$700,000 dari Muzium Sejarah Alam Paris, dan barangan porselin bernilai AS$7.6 juta dari sebuah muzium di Limoges. - AFP