LA PAZ, 21 Oktober- Ratusan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di Bolivia pada Isnin bagi membantah dakwaan penipuan pilihan raya dan menuntut semakan semula selepas pengumuman presiden baharu dari blok tengah-kanan negara itu.
Rodrigo Paz, seorang ahli ekonomi berusia 58 tahun, memenangi pusingan kedua pilihan raya pada Ahad dengan 54.5 peratus undi menentang bekas presiden sayap kanan, Jorge Quiroga.
Para penunjuk perasaan menjerit “penipuan” dan cuba menuju ke dataran di La Paz yang menempatkan pejabat presiden dan parlimen, sebelum dibubarkan oleh pihak polis tanpa sebarang pertembungan dilaporkan.
Quiroga mengakui kekalahan dan mengucapkan tahniah kepada Paz sambil mengumumkan bahawa rekod undi akan disemak dalam beberapa hari akan datang sebagai tindak balas terhadap dakwaan ketidakaturan.
Beberapa tuduhan berlegar di media sosial tetapi masih belum terbukti.
Kemenangan Paz menandakan berakhirnya 20 tahun pemerintahan kiri di Bolivia, yang kini menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam empat dekad. -AFP