fb fb fb fb fb

Pelantikan Takaichi lonjak saham Jepun ke paras tertinggi

Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi/AFP

TOKYO, 21 Oktober – Jepun pada Selasa mencatat sejarah tersendiri apabila Sanae Takaichi dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara itu, selepas berjaya mencapai perjanjian saat akhir dengan parti berhaluan kanan, Japan Innovation Party (JIP).

Takaichi, yang dikenali sebagai tokoh konservatif menjadi Perdana Menteri kelima Jepun dalam tempoh lima tahun dan bakal mengetuai kerajaan minoriti.

Parlimen melantik Takaichi sebagai perdana menteri selepas beliau menang undian pusingan pertama dengan majoriti tidak dijangka.

Beliau akan memegang jawatan secara rasmi selepas menghadap Maharaja Jepun.

Bekas pemain dram kumpulan muzik heavy metal itu dipilih mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP) pada 4 Oktober lalu selepas ditolak rakyat Jepun pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Sekutu LDP iaitu Parti Komeito menarik diri daripada gabungan disebabkan skandal dana LDP dan pandangan konservatif Takaichi.

Tindakan itu memaksanya mencari sekutu baharu. Gabungan bersama JIP dimeterai pada malam Isnin.

JIP menyokong dasar termasuk penghapusan cukai pengguna ke atas makanan, pengurangan bilangan ahli parlimen, serta pengharaman sumbangan politik daripada korporat dan organisasi.

Takaichi berjanji akan “menguatkan ekonomi Jepun dan membentuk semula negara itu agar lebih bertanggungjawab kepada generasi akan datang.”

Takaichi turut merancang untuk membentuk kabinet dengan perwakilan wanita seperti di negara-negara Nordik, berbanding hanya dua wanita dalam di bawah kabinet bekas Perdana Menteri, Shigeru Ishiba.

Antara yang bakal dilantik ialah Satsuki Katayama sebagai Menteri Kewangan dan Kimi Onoda, sebagai Menteri Keselamatan Ekonomi.

Jepun kini berada di tangga ke-118 daripada 148 negara dalam Laporan Jurang Jantina Global 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia.

Hanya 15% ahli Parlimen Dewan Rendah ialah wanita, manakala majoriti lembaga korporat masih dikuasai lelaki.

Takaichi, 64, turut menyatakan hasrat untuk meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan wanita dan pernah berkongsi secara terbuka tentang pengalaman menopausnya.

Namun, beliau menentang pindaan undang-undang abad ke-19 yang mewajibkan pasangan berkahwin berkongsi nama keluarga yang sama, serta menolak idea pewarisan takhta wanita.

Takaichi bakal berdepan pelbagai cabaran termasuk isu perjanjian perdagangan dengan AS, termasuk permintaan Trump supaya Jepun menghentikan import tenaga dari Rusia, serta tekanan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara.

Beliau juga perlu menangani beberapa perkara seperti kemerosotan populasi, pertumbuhan ekonomi yang lembap, serta isu kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen yang menyukarkannya untuk kelulusan dasar-dasar baharu yang dirancang.

Takaichi sebelum ini menyokong pelonggaran dasar monetari dan peningkatan perbelanjaan kerajaan, selaras dengan dasar “Abenomics” ciptaan mentor politiknya, bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.

Kemenangan Takaichi telah meningkatkan indeks saham Jepun ke paras tertinggi, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinannya. -AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD