fb fb fb fb fb

Mercun Deepavali punca kualiti udara di New Delhi tercemar

FOTO REUTERS

NEW DELHI, 21 Oktober - Kualiti udara di New Delhi, merosot ke paras berbahaya pada Selasa dengan merekodkan bacaan tertinggi di dunia, menurut syarikat teknologi kualiti udara Switzerland (IQAir) .

Kemerosotan itu sebahagiannya disebabkan akibat penggunaan mercun semasa perayaan Deepavali.

Mercu tanda ikonik seperti Tugu Peringatan Perang India Gate dan Kuil Akshardham diselubungi jerebu, dengan rakaman dron menunjukkan langit berkabus di seluruh bandar.

Mahkamah Agung India minggu lalu melonggarkan larangan terhadap penggunaan mercun di bandar itu, dengan membenarkan penggunaan “mercun hijau” selama tiga jam masing-masing pada Ahad dan Isnin.

Namun saksi melaporkan masih terdapat mercun dibakar di luar waktu yang dibenarkan.

Pelepasan asap daripada mercun hijau ini adalah antara 30% hingga 50% lebih rendah berbanding mercun biasa.

Bacaan Indeks Kualiti Udara (IQAir) bagi New Delhi mencatatkan paras 442, menjadikan ibu negara India itu antara bandar utama paling tercemar di dunia.

Kepekatan zarah halus (PM2.5) pula melebihi 59 kali ganda daripada garis panduan tahunan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat India (CPCB) turut mengklasifikasikan kualiti udara bandar itu sebagai “sangat buruk” dengan Indeks Kualiti Udara (AQI) sebanyak 350.

CPCB menganggap bacaan AQI antara 0 hingga 50 sebagai baik.

New Delhi dijangka tidak akan menikmati situasi baik dalam masa terdekat, dengan kementerian sains bumi meramalkan kualiti udara kekal dalam kategori “Sangat Buruk hingga Buruk” dengan paras AQI antara 201 hingga 400.

New Delhi dan kawasan sekitarnya sering diselubungi jerebu tebal setiap musim sejuk apabila udara sejuk dan berat memerangkap habuk pembinaan, asap kenderaan serta pembakaran terbuka sisa pertanian, menyebabkan sebahagian populasi penduduknya berdepan masalah pernafasan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD