ISLAMABAD, 21 April-Salji di kawasan pergunungan Hindu Kush-Himalaya kini berada pada tahap paling rendah dalam tempoh 23 tahun.
Keadaan berkenaan sekali gus mengancam hampir dua bilion penduduk yang bergantung kepada cairan salji sebagai sumber air, menurut amaran para saintis dalam satu laporan pada Isnin.
Rangkaian pergunungan Hindu Kush-Himalaya yang merentangi dari Afghanistan hingga Myanmar itu menyimpan rizab ais dan salji terbesar di luar kawasan Artik dan Antartika, serta menjadi sumber air tawar penting bagi sekitar dua bilion orang.
“Trend itu kini memasuki tahun ketiga berturut-turut, mengancam keselamatan bekalan air untuk hampir dua bilion orang,” menurut Snow Update Report oleh ICIMOD.
Kajian itu turut memberi amaran tentang kemungkinan aliran sungai yang lebih rendah, peningkatan kebergantungan kepada air bawah tanah, dan risiko kemarau yang lebih tinggi.
Penulis utama laporan ICIMOD, Sher Muhammad, memberitahu AFP bahawa “tahun ini, salji hanya mula turun lewat pada Januari dan secara puratanya kekal rendah sepanjang musim sejuk”.
Beberapa negara di Asia Selatan telahpun mengeluarkan amaran kemarau, dengan hasil tuaian dan akses kepada air semakin terancam bagi populasi yang turut berdepan gelombang haba yang lebih panjang, panas dan kerap.
ICIMOD, sebuah organisasi antara kerajaan, dianggotai oleh negara-negara seperti Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, China, India, Myanmar, Nepal dan Pakistan.
Organisasi itu menggesa negara-negara yang bergantung kepada 12 lembangan sungai utama di rantau itu untuk membangunkan “pengurusan air yang lebih baik, kesiapsiagaan kemarau yang lebih kukuh, sistem amaran awal yang berkesan dan kerjasama serantau yang lebih erat”.
Ia turut menyatakan bahawa lembangan Mekong dan Salween, iaitu dua sungai terpanjang di Asia Tenggara yang membekalkan air kepada China dan Myanmar — telah kehilangan kira-kira separuh daripada litupan saljinya.
Ketua Pengarah ICIMOD, Pema Gyamtsho, menggesa agar dasar-dasar sedia ada diteliti semula bagi menangani isu kekurangan salji dalam jangka masa panjang.
“Pelepasan karbon telah pun menyebabkan satu haluan yang tidak dapat diundur dengan kemunculan ketidaknormalan salji yang berulang-ulang di HKH (Hindu Kush-Himalaya),” kata Gyamtsho.
Asia kini merupakan rantau yang paling terkesan oleh bencana berkaitan iklim, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang melaporkan bulan lalu bahawa lima daripada enam tahun kebelakangan ini mencatat kadar pencairan glasier paling pantas dalam sejarah.-AFP.