KUALA LUMPUR, 21 April-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ketua Gereja Katolik, Paus Francis yang meninggal dunia pada usia 88 tahun hari ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar menyatakan rasa dukacita yang mendalam dan menyifatkan mendiang Paus Francis sebagai paus pertama dari Amerika Selatan yang meninggalkan legasi luar biasa dalam memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
“Beliau akan dikenang bukan sahaja sebagai paus pertama dari Selatan Global, tetapi juga sebagai suara moral yang menyeru kepada belas ihsan, kerendahan hati dan keadilan dalam dunia yang bergelora,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Menurut Anwar, mendiang turut dihormati kerana komitmennya terhadap persefahaman antara agama, pemeliharaan alam sekitar serta mempertahankan martabat golongan yang terpinggir di seluruh dunia.
Jelas Anwar, Pope Francis juga dikenali sebagai pendukung tegar keamanan dan berusaha membina jambatan antara budaya dan agama yang berbeza, termasuk dalam kalangan dunia Islam. Kenyataannya berhubung penderitaan rakyat di Gaza juga telah menyentuh hati masyarakat antarabangsa.
“Beliau bersuara dengan kejelasan moral mengenai penderitaan yang amat dahsyat di Gaza, mengingatkan dunia bahawa kita mesti menunjukkan belas kasihan yang sama kepada semua mangsa keganasan, tanpa mengira di mana mereka berada", tambah Anwar.
Anwar turut mengimbas kenangan ketika bertemu mendiang pada awal pentadbirannya di Vatican dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan buatnya.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang paling tulus kepada kepada penganut Katolik di seluruh dunia, khususnya kepada komuniti Katolik di Malaysia", katanya.