VATICAN CITY, 22 April- Pemimpin dunia menyifatkan Paus Francis sebagai "suar belas kasihan."
Beberapa pemimpin dunia turut memberi penghormatan utama kepada Paus Francis.
- 'Berani': Britain -
Raja Charles, yang juga ketua Gereja England dan merupakan salah seorang pembesar asing berkata beliau "sangat sedih" dengan kematian Francis, sambil menambah: "Melalui kerja dan penjagaannya untuk kedua-dua manusia dan dunia, beliau sangat menyentuh kehidupan ramai orang".
- 'Seorang kawan setia': Presiden Palestin -
"Hari ini, kami kehilangan rakan setia rakyat Palestin dan hak sah mereka," kata Presiden Palestin Mahmud Abbas. Beliau menyifatkan Francis "mengiktiraf negara Palestin dan membenarkan bendera Palestin dinaikkan di Vatican."
- 'Pembela keadilan': Putin -
Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan Francis adalah seorang pemimpin agama yang "bijak", seorang "negarawan" dan "pembela konsisten terhadap nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan yang tinggi," yang "secara aktif mempromosikan dialog antara Gereja Ortodoks Rusia dan Roman Katolik".
- 'Seorang lelaki hebat meninggalkan kita': Itali -
"Paus Francis meninggal dunia pada usia 88 tahun. Ia adalah berita yang sangat menyedihkan, Francis telah meninggalkan kita," kata Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
- Kesan kekal -
Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape berkata, lawatan Pope Francis ke ibu kota negaranya dan sebuah pos hutan tahun lalu telah memberi inspirasi kepada negara yang telah lama rasa dilupakan.
"Penglibatannya dengan orang muda dan pemimpin gereja kami meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan kepada semua yang menyaksikan mereka," kata Marape.
"Kata-kata dan kehadirannya memberi inspirasi kepada kami, mengingatkan kami untuk menjaga mereka yang lemah, bertindak adil, dan berjalan dengan rendah hati bersama Tuhan."
- 'Disenangi semua': Filipina -
"Paus Francis merupakan pemimpin bijaksana dengan hati terbuka kepada semua, tanpa mengira golongan," kata Presiden Filipina Ferdinand Marcos. Beliau turut menggelar Francis sebagai seorang yang "rendah hati".
- penghormatan Buddha -
Pemimpin rohani Tibet Dalai Lama memuji Pope Francis yang telah "mendedikasikan dirinya untuk berkhidmat kepada orang lain... secara konsisten mendedahkan melalui tindakannya sendiri bagaimana untuk menjalani kehidupan yang sederhana, tetapi bermakna."
Pemimpin Buddha itu menyifatkan "penghormatan terbaik yang boleh kita berikan kepadanya ialah menjadi seorang yang berhati hangat, berkhidmat kepada orang lain di mana sahaja dan dalam apa jua cara yang kita boleh".
- 'Pembela alam sekitar': PM Jepun -
"Kematian Paus Francis kehilangan besar buat penduduk Vatican, Katolik dan masyarakat antarabangsa," kata Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba. Francis juga dianggap sebagai pembela alam sekitar dan diplomasi atas nama keamanan.
- Pemimpin Nigeria memuji tindakan iklim Paus Francis -
Presiden Nigeria Bola Tinubu pada hari Isnin memuji Paus Francis atas tindakannya terhadap perubahan iklim. "Hari ini, dengan berat hati, saya menyertai umat Katolik dan Kristian di seluruh dunia dalam berkabung atas pemergian Paus Francis," kata Tinubu dalam satu kenyataan. "Dunia kehilangan suara paling menonjol untuk keadilan dan tindakan menentang perubahan iklim."- AFP
Paus Francis meninggal dunia akibat strok, menyebabkan koma dan kegagalan jantung "tidak dapat dipulihkan", menurut sijil kematian yang dikeluarkan oleh Vatican pada Isnin.
Pemimpin Katolik berusia 88 tahun itu meninggal dunia pada pagi Isnin, hampir sebulan selepas dibenarkan keluar dari hospital selama lima minggu.
Francis meninggal dunia pada 7.35 pagi waktu tempatan di apartmennya di kediaman Santa Marta di Vatican.
Sebelum ini kesihatan Francis terjejas berikutan kegagalan pernafasan akut dengan mengalami radang paru-paru.- AFP