NEW YORK, 21 April- Universiti Harvard memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin, sekali gus mencetuskan pertempuran undang-undang terbuka berhubung dakwaan campur tangan politik dalam urusan akademik.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Massachusetts, Harvard menuduh pentadbiran Trump cuba menggunakan ancaman pemotongan dana persekutuan sebagai taktik untuk mengawal keputusan akademik institusi itu.
“Kes ini melibatkan usaha kerajaan menggunakan penahanan dana persekutuan sebagai alat untuk menguasai keputusan akademik di Harvard,” kata universiti terkemuka itu dalam kenyataan tuntutan yang turut menyenaraikan beberapa institusi lain yang turut menjadi sasaran.
Menurut Harvard, tindakan kerajaan pimpinan Trump itu bukan sahaja mencabuli Pindaan Pertama Perlembagaan AS, tetapi juga melanggar undang-undang serta peraturan persekutuan yang lain.
Trump sebelum ini mengancam untuk menarik balik status pengecualian cukai dan dana persekutuan terhadap universiti-universiti ternama yang didakwa membenarkan anti-Semitisme berleluasa di kampus terutamanya susulan protes terhadap perang Israel di Gaza.
Pentadbiran Trump mendakwa protes yang tercetus di kampus-kampus sekitar AS tahun lalu sarat dengan mesej anti-Yahudi dan menolak program kepelbagaian yang menurut mereka memihak kepada ideologi sayap kiri.
Walaupun Harvard telah mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar terlibat termasuk meletakkan 23 pelajar dalam tempoh percubaan dan menolak penganugerahan ijazah kepada 12 orang universiti itu tetap enggan tunduk kepada tekanan kerajaan.
Sebaliknya, beberapa universiti lain seperti Columbia dilaporkan lebih akur kepada tuntutan pentadbiran Trump yang mendakwa institusi pendidikan tinggi AS terlalu cenderung kepada agenda liberal.- REUTERS