fb fb fb fb fb

China akan lancarkan misi kru baharu ke angkasa

Kapal angkasa Shenzhou-19 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan untuk misi kru ke stesen angkasa Tiangong China, berhampiran Jiuquan/ Reuters

BEIJING, 22 April- China dijangka melancarkan misi kru baharu ke angkasa lepas minggu ini dalam usaha ke arah menempatkan angkasawan di bulan.

Misi Shenzhou-20 akan berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China dengan membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa Tiangong yang dibina sendiri di negara itu untuk tempoh enam bulan.

Pasukan itu akan menjalankan eksperimen untuk meneruskan matlamat program angkasa lepas untuk menempatkan angkasawan di Bulan menjelang 2030 selain membina pangkalan di bulan.

Minggu lalu agensi angkasa negara itu memaklumkan bahawa kapal angkasa Shenzhou dan roket pengangkut Long March-2F dipindahkan ke tapak pelancaran yang akan dilancarkan "pada masa sesuai dalam masa terdekat."

Sementara itu menerusi paparan gambar-gambar yang diterbitkan agensi berita negara Xinhua menunjukkan roket putih berada di atas alas biru yang dihiasi dengan bendera negara mengarah ke langit.

"Pada masa ini, kemudahan dan peralatan tapak pelancaran berada dalam keadaan baik. Pemeriksaan kefungsian dan ujian bersama akan dijalankan seperti yang dirancang," kata Agensi Angkasa Berawak China (CMSA).

Bagaimanapun pihak berkuasa masih belum memberikan butiran lanjut mengenai identiti angkasawan Shenzhou-20 atau kerja yang akan dilakukan.

Zhou Wenxing, seorang kakitangan di pusat latihan angkasawan negara itu, berkata kru berkenaan "dalam keadaan baik, mahir dalam pengoperasian dan penyelarasan", lapor penyiar negara CCTV pada Ahad.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI