GAZA, 22 April- Sekurang-kurangnya tujuh lagi individu terbunuh dalam serangan udara baru Israel di seluruh wilayah kendalian Hamas, lapor agensi pertahanan awam Gaza.
"Rejim Zionis melancarkan serangan udara ke atas Kota Gaza dan bandar Beit Lahia, Beit Hanoun, dan Khan Yunis membunuh tujuh orang awam," kata jurucakap pertahanan awam Mahmoud Bassal kepada AFP.
Empat individu terbunuh di kawasan Al-Rimal berhampiran Kota Gaza, dua di Al-Sabra di barat Kota Gaza dan seorang di Khan Yunis.
"Serangan kejam berkenaan memusnahkan lebih 10 rumah di timur Kota Gaza dan di Rafah," tambahnya.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan tentera Israel telah melakukan "kekejaman" sekali gus membunuh 15 pekerja penyelamat bulan lepas.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, sekurang-kurangnya 1,691 orang terbunuh di Gaza sejak rejim Zionis meneruskan serangannya, menjadikan jumlah kematian sejak perang meletus kepada sekurang-kurangnya 51,065.- AFP