SYDNEY, 22 April- Proses undian awal bagi pilihan raya Australia bermula hari ini, dengan parti pemerintah Buruh yang dipimpin Perdana Menteri Anthony Albanese mendahului dengan jurang tipis.
Suruhanjaya Pilihan Raya Australia menjangkakan sehingga separuh daripada rakyat yang layak mengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka lebih awal termasuk melalui undian pos, menjelang hari pengundian rasmi pada 3 Mei.
Permulaan undian itu berlaku serentak dengan kemerosotan populariti ketua parti pembangkang Liberal, Peter Dutton, yang gagal menghapuskan tanggapan umum bahawa beliau terlalu rapat dari segi ideologi dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dutton sebelum ini terpaksa menarik balik dasar kontroversi yang menggesa kakitangan kerajaan persekutuan kembali bekerja sepenuh masa di pejabat serta pemotongan puluhan ribu jawatan awam, dasar yang dikatakan diinspirasikan daripada inisiatif Trump melalui Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diterajui Elon Musk.
Albanese pula menunjukkan peningkatan mendadak dalam sokongan rakyat, apabila berjaya merapatkan jurang dari ketinggalan enam mata pada Januari kepada mendahului sembilan mata awal bulan ini.
Hasil tinjauan terbaharu oleh Newspoll yang diterbitkan Ahad lalu menunjukkan Parti Buruh mendahului empat mata apabila undi daripada parti-parti kecil diagihkan semula berdasarkan sistem undian pilihan Australia, di mana pengundi menyenaraikan calon mengikut keutamaan.
“Tiada sekelumit rasa selesa dalam kem saya, saya jamin itu,” kata Albanese dalam sidang media Isnin.
“Pilihan raya kali ini benar-benar terbuka kepada sebarang kemungkinan.”
Beliau turut mengingatkan insiden pada pilihan raya 2019 apabila beberapa syarikat pertaruhan tersalah ramal kemenangan Parti Buruh, sedangkan pilihan raya itu dimenangi oleh pemimpin Liberal ketika itu, Scott Morrison.
Dutton dan Albanese dijadualkan berdebat dalam siaran langsung buat kali ketiga dan terakhir malam ini.- REUTERS