fb fb fb fb fb

Mesyuarat IMF, Bank Dunia: Isu Tarif perdagangan dijangka jadi tumpuan

Foto REUTERS

WASHINGTON, 21 April- Isu tarif perdagangan dijangka menjadi tumpuan pada mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia yang bakal di adakan di sini minggu ini.

Isu utama yang mendominasi mesyuarat tahun kali ini ialah bagaimana untuk mengurangkan kesan daripada tarif import tinggi yang dikenakan oleh Presiden A.S. Donald Trump sejak beliau kembali ke White House pada Januari lalu.

Penganalisis berkata isu tarif sedang menjejaskan unjuran pertumbuhan ekonomi global IMF yang akan diumumkan pada Selasa, sekali gus meningkatkan beban hutang negara membangun.

“Perang perdagangan akan mendominasi mesyuarat minggu ini,” kata Josh Lipsky dari Majlis Atlantik.

“Mesyuarat musim bunga ini berbeza sama sekali – hanya satu isu yang mendominasi", katanya.

Tumpuan juga tertumpu kepada Setiausaha Perbendaharaan baharu Amerika Syarikat (A.S), Scott Bessent, yang dilihat sebagai perunding utama Trump dalam rundingan tarif dan persoalan sokongan AS terhadap IMF dan Bank Dunia masih menjadi tanda tanya.

Tarif yang dikenakan oleh Trump kini sedang menjejaskan ramalan ekonomi IMF, yang dijangka akan diterbitkan pada Selasa. Keadaan itu menambah tekanan terhadap beban hutang negara membangun.

Namun, ramai peserta mesyuarat mempersoalkan sokongan pentadbiran Trump terhadap IMF dan Bank Dunia. "Project 2025", sebuah manifesto dasar sayap kanan Republikan yang mempengaruhi banyak keputusan Trump untuk merombak kerajaan, mencadangkan agar A.S. menarik diri daripada institusi tersebut.

“Saya melihat peranan utama untuk Setiausaha Bessent dalam mesyuarat ini bagi menjawab beberapa soalan asas,” kata bekas pegawai Perbendaharaan A.S. Nancy Lee yang kini menjadi Felo kanan di Pusat Pembangunan Global di sini.

“Yang paling penting, adakah A.S. menganggap sokongan terhadap bank pembangunan pelbagai hala sebagai kepentingan strategiknya?", tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata minggu lalu bahawa unjuran pertumbuhan dalam laporan World Economic Outlook akan menyaksikan “penurunan ketara tetapi tidak menuju ke arah kemelesetan”, sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidaktentuan dan turun naik pasaran yang “melampau” akibat pergolakan tarif.

Walaupun Georgieva menyatakan bahawa ekonomi sebenar dunia masih berfungsi dengan baik, beliau memberi amaran bahawa persepsi negatif yang semakin meningkat mengenai krisis perdagangan dan kebimbangan terhadap kemelesetan boleh melambatkan aktiviti ekonomi.

Dalam pada itu, Presiden Bank Dunia Ajay Banga berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran Trump, namun tidak pasti sama ada pentadbiran itu akan menyalurkan dana AS$4 bilion kepada dana Bank Dunia untuk negara termiskin yang dijanjikan oleh bekas Presiden Joe Biden.

Banga dijangka akan memperluaskan penjelasan mengenai hala tuju baharu Bank Dunia yang beralih daripada fokus utama kepada tenaga boleh diperbaharui, kepada projek merangkumi tenaga nuklear dan gas serta memberi tumpuan kepada projek penyesuaian iklim iaitu satu pendekatan yang lebih selari dengan keutamaan Trump.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD