TEHRAN, 21 April-Iran pada Isnin menuduh Israel cuba “menggagalkan” rundingan nuklear yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei, berkata bahawa satu gabungan sedang dibentuk bertujuan untuk menggagalkan dan mengganggu proses diplomatik, sambil menuduh Israel sebagai dalang utama usaha tersebut.
"Di samping itu, terdapat pihak pelampau dan pemimpin daripada pelbagai puak di Amerika Syarikat yang turut memainkan peranan," tambah beliau.
Akhbar The New York Times melaporkan pada Khamis bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah memujuk Israel agar tidak melancarkan serangan ke atas tapak nuklear Iran dalam jangka masa terdekat.
Namun begitu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tetap bertegas bahawa negaranya tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.
Negara-negara Barat dan Israel yang dianggap sebagai satu-satunya negara bersenjata nuklear di Asia Barat sejak sekian lama menuduh Tehran berusaha mendapatkan senjata nuklear.
Namun, Iran secara konsisten menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan awam semata-mata.
Iran dan Amerika Syarikat, yang menjadi seteru sejak Revolusi Islam 1979, dijangka bertemu dalam pusingan ketiga rundingan yang diatur oleh Oman dalam masa terdekat dalam usaha menghidupkan kembali diplomasi nuklear antara kedua-dua negara.
Pada tahun 2018, Donald Trump menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian nuklear penting yang dimeterai tiga tahun sebelumnya, yang memberikan pelepasan sekatan ke atas Iran sebagai balasan kepada sekatan terhadap program nuklearnya.
Setahun kemudian, Iran mula melanggar syarat-syarat perjanjian itu, dengan memperkaya uranium pada tahap yang tinggi.
Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Tehran kini telah memperkaya uranium sehingga 60 peratus hampir kepada tahap 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata.
Perjanjian asal pada 2015 hanya membenarkan pengayaan uranium pada tahap 3.67 peratus.-AFP.