WASHINGTON, 24 Januari- Dinosaur telah lama mendominasi ekosistem daratan bumi dengan pelbagai bentuk termasuk jenis herbivor seperti Argentinosaurus, karnivor (Tyrannosaurus) dan spesies unik seperti Therizinosaurus yang memiliki kuku tajam dan panjang.
Namun lokasi kemunculan awal dinosaur masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyelidik.
Penyelidik mencadangkan lokasi fosil ditemukan sebagai tempat kelahiran dinosaur. Ia berikutan evolusi yang berlaku antara bentuk awal dan geografi bumi semasa Tempoh Trias (kala pada masa 250-200 juta tahun dahulu, merupakan kala terawal dalam Era-Mesozoik).
Lokasi berkenaan merentasi kawasan gurun Sahara dan hutan hujan Amazon zaman moden. Kini ia dipisahkan oleh ribuan batu dan lautan berikutan proses geologi yang digelar tektonik plat.
"Apabila fosil dinosaur ditemukan, sebahagian besar adalah dari benua super gergasi Pangaea (yang terbentuk antara 320 juta dan 195 juta tahun dahulu).
"Dinosaur muncul di bahagian selatan daratan ini, dikenali sebagai Gondwana (termasuk kawasan selatan Amerika Selatan, Afrika, India, Madagascar, Australia, dan Antartika)," kata Joel Heath, pelajar kedoktoran paleontologi di University College London dan Muzium Sejarah Alam di London.
"Penyelidikan kami berpendapat ia mungkin berasal dari kawasan latitud rendah Gondwana kerana berhampiran dengan garisan khatulistiwa. Kawasan hari ini termasuk utara Amerika Selatan dan utara Afrika," tambah pengarang utama kajian jurnal Current Biology.
Fosil dinosaur paling awal ditemukan bertarikh kira-kira 230 juta tahun lalu. Spesies berkenaan termasuk Eoraptor dan Herrerasaurus ditemukan di Argentina, Saturnalia (selatan Brazil) dan Mbiresaurus (Zimbabwe).
Penemuan mempunyai ciri-ciri tertentu mentakrifkan fosil itu sebagai dinosaur. Namun para penyelidik berpendapat bahawa penemuan itu menunjukkan evolusi berlaku jutaan tahun terhadap dinosaur.
"Penyelidikan awal berpendapat kawasan di selatan Amerika Selatan dan selatan Afrika sebagai kawasan asal dinosaur.
"Namun kami mencadangkan rekod fosil perlu dilakukan termasuk kawasan gurun Sahara dan hutan hujan Amazon. Lokasi berkenaan mempunyai potensi untuk mendedahkan dinosaur terawal hidup," kata Heath.
Menerusi kajian para penyelidik, dinosaur mungkin muncul kira-kira 245-230 juta tahun lalu, berikutan kawasan khatulistiwa bertukar sangat panas dan kering.
Kawasan seperti Amazon dan Sahara juga sukar diterokai oleh ahli paleontologi kerana hutan tebal, padang pasir luas dan cabaran logistik.
Dinosaur berevolusi daripada reptilia primitif selepas kepupusan disebabkan gunung berapi meletus pada penghujung Tempoh Permian kira-kira 252 juta tahun lalu.
"Dinosaur mempunyai ciri-ciri unik dalam rangka mereka. Spesies itu mempunyai keupayaan untuk berdiri tegak, disokong bentuk kaki lurus seperti tiang yang membantu mereka berjalan dan berlari dengan cekap.
"Haiwan itu juga mempunyai pinggul istimewa yang menjadikan mereka berbeza daripada reptilia lain. Tubuh mereka dibentuk untuk kelajuan dan ketangkasan, dan gigi mereka disesuaikan untuk diet tertentu.
"Ciri-ciri khusus ini tidak muncul dalam sekelip mata. Mereka berevolusi berperingkat selama berjuta-juta tahun daripada reptilia lebih tua dan lebih primitif.
"Bagaimanapun, kami masih belum menemukan fosil peralihan yang menunjukkan bagaimana perubahan ini berlaku. Ia terus menjadikan penemuan ini sebagai sejarah yang misteri," kata Heath.- Reuters