fb fb fb fb fb

Badan kewartawanan Pakistan kritik undang-undang kawal media sosial

Parlimen Pakistan/ Reuters

ISLAMABAD, 24 Januari- Kumpulan kewartawanan dan aktivis hak asasi manusia menyatakan rasa tidak puas hati berikutan undang-undang baharu di Pakistan yang bertujuan mengawal selia kandungan media sosial.

Menurut kumpulan itu ia dilihat akan menyekat kebebasan akhbar dan menggesa untuk mengadakan bantahan di seluruh negara minggu depan.

Parlimen memperkenalkan dan meluluskan pindaan tersebut kepada Akta Jenayah Elektronik Pakistan pada Khamis.

Menurut draf di laman web parlimen negara itu peraturan baharu itu akan menubuhkan pihak berkuasa kawal selia media sosial yang akan mempunyai agensi penyiasatan dan tribunal sendiri.

Tribunal sedemikian dapat membicarakan dan menghukum pesalah dengan hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda dua juta rupee ($7,200) kerana menyebarkan maklumat "tidak benar atau palsu".

Menteri Undang-undang Pakistan Azam Nazeer Tarar memberitahu parlimen pada Khamis bahawa undang-undang itu diperkenalkan untuk menyekat berita tidak benar dan palsu di media sosial.

Sehubungan itu Pakistan memerlukan peraturan khusus untuk mengawal perkara itu dalam kalangan pengguna media sosial.

Sementara itu menurut Presiden Kesatuan Wartawan Persekutuan Pakistan (PFUJ) Afzal Butt, kerajaan tidak berunding dengan mana-mana badan kewartawanan sebelum memperkenalkan undang-undang berkenaan.

Namun beliau percaya pelaksanaan itu bertujuan untuk menghalang kebebasan bersuara dan menakutkan wartawan dan media.

"Kami menolak keputusan unilateral kerajaan untuk menubuhkan mana-mana tribunal sedemikian," kata Butt kepada Reuters.

"Kami juga memihak kepada peraturan, tetapi, agensi penguatkuasaan undang-undang atau pegawai polis tidak boleh memutuskan berkenaan berita tidak benar atau palsu."

PFUJ dalam satu kenyataan memaklumkan ia akan memulakan perhimpunan di seluruh negara menentang undang-undang baharu itu minggu depan.

Sekiranya undang-undang itu tidak ditarik balik, PFUJ akan mengadakan protes duduk di luar parlimen.

Dalam pada itu aktivis hak digital juga mengkritik pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Reporters Without Borders, sebuah organisasi mempromosi dan mempertahankan kebebasan akhbar, meletakkan Pakistan pada kedudukan 152 dalam Indeks Kebebasan Akhbar dunia 2024.

Kumpulan itu juga mengatakan Pakistan adalah salah satu tempat paling berbahaya untuk wartawan.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI