TAIPEI, 24 Januari- Ekonomi Taiwan berkembang hampir empat kali lebih pantas pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Perkara itu didorong hasil permintaan global untuk eksport teknologi tinggi dari negara itu yang digunakan dalam telefon pintar hingga turbin angin dan juga peluru berpandu sekali gus menjadikan kepulauan itu sebagai kuasa dunia dalam industri semikonduktor.
Eksport cip dan eksport-eksport lain memacu ekonomi kepulauan itu namun terdapat kebimbangan bahawa lebihan dagangan tertinggi dengan Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas boleh mendorong Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif pada penggal kedua dalam pentadbiran beliau.
Sementara itu menurut agensi perangkaan Taiwan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 4.3 peratus tahun lepas. Data berkenaan sepadan dengan ramalan purata tinjauan penganalisis dari Bloomberg News.
Dalam pada itu agensi perangkaan berkenaan meramalkan pengembangan sebanyak 3.3 peratus tahun ini.
Namun Trump melihat pengembangan ekonomi Taiwan sebagai tiket untuk mengenakan tarif ke atas import beberapa rakan dagangan AS ketika beliau dalam usaha untuk memulihkan industri pembuatan negara itu.
Menerusi penampilan video di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland Trump turut memakluman kepada syarikat luar supaya menghasilkan produk di AS bagi mengelakkan daripada dikenakan tarif.
Menurut laporan Bloomberg lebihan perdagangan Taiwan dengan AS melonjak kira-kira 83 peratus iaitu $64.9 bilion pada 2024.
Trump sebelum ini menuduh Taiwan cuba memonopoli industri semikonduktor AS.
Capital Economics yang berpangkalan di London meramalkan ekonomi Taiwan akan mengekalkan pertumbuhan "teguh" pada suku akan datang, disokong eksport teknologi.
"Ini sepatutnya diterjemahkan kepada pertumbuhan pelaburan teguh," kata Harry Chambers, penolong ahli ekonomi di firma penyelidikan itu.
"Dengan kadar gaji sebenar yang semakin meningkat, ia memperlihatkan pertumbuhan ekonomi akan bertambah baik."- AFP