BEIJING, 24 Januari- Jutaan perantau berpusu-pusu ke stesen kereta api dan lapangan terbang dengan membawa beg pakaian besar dan hadiah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
Cuti itu, yang terbesar di China, tahun ini jatuh pada 28 Januari hingga 4 Februari.
Sambutan perayaan itu memberi rangsangan kepada perniagaan seperti kedai, pawagam dan restoran kerana kebanyakan keluarga menikmati masa bersama-sama dan membeli-belah.
Pihak berkuasa berharap dengan perbelanjaan lebih ramai pengunjung akan meningkatkan ekonomi yang lembap disokong tambahan tempoh cuti rasmi daripada tujuh hari kepada lapan hari.
Usaha itu dilihat akan memulihkan ekonomi termasuk mempromosikan destinasi percutian dan memastikan tambang penerbangan mampu milik di seluruh negara, kata pihak berkuasa dalam sidang media di sini.
Bagaimanapun menurut peniaga dan perantau yang ditemui Reuters, kebanyakan berbelanja secara berhemah dalam menghadapi kemerosotan ekonomi berpanjangan dan kebimbangan keselamatan pekerjaan.
Seorang profesional jualan bernama Liu berkata, kebimbangan mengenai ekonomi dan pekerjaan dilihat membimbangkan di negara itu.
"Ia menjadi lebih sukar untuk mendapatkan wang dan mencari pekerjaan. Terdapat lebih ramai individu yang menganggur dan mereka semua mengatakan ia lebih sukar," katanya.
Sementara itu seorang pendandan rambut Qiang berkata, tidak ramai yang mengambil kesempatan untuk memotong rambut.
"Pada masa ini, kami biasanya mempunyai ramai pelanggan yang datang untuk mewarnakan atau mengeritingkan rambut. Kami lihat tidak ramai yang membuat rambut," katanya.
"Kami pernah mempunyai lapan hingga 10 pelanggan sehari pada musim ini dalam tahun-tahun biasa. Tetapi tahun lepas dan tahun ini, kami hanya mempunyai kira-kira dua hingga tiga orang."
Kementerian pengangkutan China menganggarkan sejumlah sembialn bilion perjalanan akan dilakukan ke seluruh negara dalam tempoh perjalanan 40 hari.
Jumlah itu meningkat daripada 8.4 bilion perjalanan yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun 2024.
Bagaimanapun pekerja di sebuah pusat sukan, Nie, 57 tahuan ingin memanfaatkan tempoh cuti berkenaan untuk mendapatkan wang lebih banyak.
"Jika saya tinggal di Beijing, saya akan dibayar tiga kali ganda gaji selama empat hari, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat wang.
"Saya mula bekerja di sini tiga bulan lalu, saya tidak berjaya membuat banyak wang pada 2024," katanya.- Reuters