fb fb fb fb fb

PBB beri amaran ke atas Israel, cetus keganasan di Tebing Barat

Bahagian selatan Tebing Barat yang diduduki Israel/ Reuters

LONDON, 24 Januari- Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Thameen Al-Kheetan memaklumkan pertubuhan itu memberi amaran terhadap Israel berikutan serangan di Tebing Barat meragut sekurang-kurangnya 12 lagi rakyat Palestin sejak Selasa.

Sementara itu beratus-ratus penduduk Jenin melarikan diri dari rumah mereka ketika tentera merobohkan kediaman di bandar Tebing Barat pada Khamis.

Serangan berkenaan dilancarkan dalam beberapa hari selepas gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza yang menyaksikan pertukaran tahanan Palestin dan Israel.

Serangan itu mencetuskan kebimbangan pejabat hak asasi manusia PBB mengenai insiden yang dilakukan Israel.

PBB juga menyeru agar keganasan kejam itu dihentikan serta-merta termasuk menghentikan perluasan penempatan haram ke atas Palestin.

"Pejabat kami mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin telah terbunuh dan 40 cedera akiobat serangan dilakukan Israel sejak Selasa.

"Kami juga bimbang berikutan rancangan Israel untuk memperluaskan lagi penempatan haram dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang baru," kata Al-Kheetan.

Israel menduduki Tebing Barat dan telah membina penempatan Yahudi secara haram di kawasan itu.

Sejak pengumuman gencatan senjata Gaza minggu lalu, Israel telah menyerang perkampungan Palestin dengan menyasarkan kenderaan dan mencederakan penduduk Palestin.

"Sememangnya kejadian ini amat membimbangkan di Tebing Barat, ia mungkin memberi kesan kepada gencatan senjata di Gaza," katanya.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI