fb fb fb fb fb

Saintis kesan planet 'rakus' telan enam bilion tan gas sesaat

Cha 1107-7626 -- planet terapung bebas kira-kira 620 tahun cahaya dari bumi dengan jisim lima hingga 10 kali lebih besar daripada musytari dan tidak mengorbit mana-mana bintang/ EUROPEAN SOUTHERN OBSERVATORY / AFP

PARIS, 2 Oktober- Sekumpulan ahli astronomi mengesan sebuah planet terapung bebas yang menyerap enam bilion tan gas dan habuk setiap saat — kadar luar biasa dikatakan mengaburkan garis pemisah antara planet dan bintang.

Tidak seperti bumi dan planet lain dalam sistem suria yang mengorbit matahari, planet seumpama ini bergerak bebas di angkasa tanpa terikat kepada mana-mana bintang.

Saintis menganggarkan terdapat trilion planet terapung bebas di galaksi bima sakti namun sukar dikesan kerana kebanyakannya bergerak dalam kegelapan mutlak tanpa memancarkan cahaya.

Objek aneh ini menarik minat komuniti astronomi kerana ia "bukan bintang dan bukan juga planet sepenuhnya," kata ahli astronomi Universiti St Andrews, Scotland, Alexander Scholz yang juga pengarang bersama kajian tersebut.

"Asal usulnya masih menjadi persoalan — adakah ia objek bermassa rendah yang terbentuk seperti bintang atau planet gergasi yang tercampak keluar daripada sistem asalnya?" katanya.

Dalam penemuan terbaharu itu, para penyelidik terkejut apabila menyaksikan lonjakan pertumbuhan mendadak pada planet tersebut terletak kira-kira 620 tahun cahaya dari bumi dalam gugusan bintang "chamaeleon".

Planet yang dinamakan secara rasmi sebagai "Cha 1107-7626" itu dianggarkan mempunyai jisim lima hingga 10 kali lebih besar daripada musytari.

Menurut Scholz, objek tersebut masih berada pada peringkat "bayi" berusia hanya satu hingga dua juta tahun. Pertumbuhannya berlaku melalui proses penyerapan (akresi) bahan dari cakera gas dan zarah halus angkasa yang mengelilinginya.

Namun apa yang berlaku pada Cha 1107-7626 "mengaburkan garis antara bintang dan planet," kata pengarang bersama kajian itu, Belinda Damian dalam kenyataan.

Pada Ogos lalu, planet itu mula menyedut bahan daripada cakera sekelilingnya pada kadar rekod enam bilion tan sesaat — lapan kali lebih laju berbanding beberapa bulan sebelumnya.

"Ini adalah episod akresi terkuat yang pernah direkodkan bagi objek bermassa planet," kata ketua penyelidik dari Balai Cerap Astronomi Palermo, Itali, Victor Almendros-Abad.

Dengan membandingkan cahaya yang dipancar sebelum dan semasa proses itu, para penyelidik mendapati aktiviti magnet memainkan peranan penting menarik bahan ke arah planet berkenaan — fenomena yang sebelum ini hanya dilihat pada bintang.

Wap air turut dikesan dalam cakera semasa episod itu berlaku, tetapi tidak sebelum itu; satu lagi ciri yang lazim pada bintang tetapi tidak pernah diperhatikan pada planet yang sedang terbentuk.

Penulis utama kajian dari Universiti Johns Hopkins, Ray Jayawardhana berkata penemuan itu menunjukkan "sesetengah objek setanding planet gergasi mungkin terbentuk sepertimana bintang — daripada gumpalan gas dan zarah halus angkasa yang mengecut serta memiliki cakera sendiri, dan melalui fasa pertumbuhan seperti bintang baharu lahir."

Bagaimanapun, Scholz menjelaskan objek itu tidak akan mencapai status bintang kerana "tidak cukup besar untuk memulakan tindak balas pelakuran nuklear di terasnya."

"Seperti planet lain, ia akhirnya akan menyejuk apabila semakin tua," katanya.

Seorang lagi pengarang kajian dalam The Astrophysical Journal Letters, Amelia Bayo menyifatkan fenomena itu sebagai "membuka rasa kagum" kerana "objek seperti planet mampu berkelakuan seperti bintang."

"Penemuan ini mengajak kita membayangkan bagaimana rupa dunia-dunia lain pada peringkat awal kewujudannya," katanya.

Pemerhatian dilakukan menggunakan teleskop milik Balai Cerap Selatan Eropah (ESO) di Chile dengan sokongan data daripada Teleskop Angkasa James Webb. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA