fb fb fb fb fb

Kekayaan Elon Musk cecah AS$500 bilion, teratas senarai Forbes

Elon Musk mencatat sejarah apabila menjadi individu pertama di dunia dengan nilai kekayaan mencecah hampir AS$500 bilion / REUTERS

NEW YORK, 2 Oktober - Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk mencatat sejarah apabila menjadi individu pertama di dunia dengan nilai kekayaan mencecah hampir AS$500 bilion.

Menurut indeks bilionair Forbes, nilai bersih kekayaan Musk berada pada paras AS$500.1 bilion setakat 4.15 petang waktu Timur AS, Rabu.

Kekayaan Musk banyak bergantung kepada saham Tesla, di mana beliau memegang lebih 12.4 peratus kepentingan setakat 15 September. Saham syarikat itu meningkat lebih 14 peratus tahun ini dan ditutup 3.3 peratus lebih tinggi pada Rabu, sekali gus menambah lebih enam bilion dolar kepada kekayaan peribadi Musk.

Pemulihan sentimen pelabur turut didorong tumpuan semula Musk terhadap syarikatnya. Malah, beliau baru-baru ini membeli saham Tesla bernilai kira-kira AS$1 bilion, dilihat sebagai isyarat keyakinan besar terhadap masa depan syarikat itu yang kini beralih daripada pengeluar kereta kepada kuasa besar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Bagaimanapun, jualan kereta yang merosot dan tekanan margin keuntungan masih menjejaskan prestasi Tesla, menjadikannya antara saham paling lemah dalam kumpulan “Magnificent Seven” syarikat teknologi mega.

Lembaga Tesla bulan lalu turut mencadangkan pelan pampasan bernilai AS$1 trilion untuk Musk, dengan sasaran kewangan dan operasi yang tinggi, selain memenuhi tuntutannya untuk pegangan saham lebih besar.

Selain Tesla, beberapa syarikat lain milik Musk turut menyaksikan lonjakan penilaian tahun ini. Startup AI miliknya, xAI, dinilai sekitar AS$75 bilion pada Julai lalu, manakala SpaceX dilaporkan berbincang untuk penilaian sekitar AS$400 bilion.

Pengasas Oracle, Larry Ellison berada di kedudukan kedua senarai bilionair Forbes dengan nilai kekayaan sekitar AS$350.7 bilion.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE