fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza City tinggalkan bandar tanpa wang, berjalan kaki ke selatan

FOTO REUTERS

GAZA, 2 Oktober - Ramai penduduk Palestin di Gaza City berkata mereka tidak mempunyai wang untuk pengangkutan ke arah selatan, namun tetap meninggalkan bandar itu dengan berjalan kaki selepas arahan pemindahan dikeluarkan Israel.

Mereka dilihat membawa barangan peribadi melalui kawasan khemah sementara di persisir pantai, susulan kenyataan Israel bahawa ia adalah peluang terakhir bagi penduduk untuk keluar dari Gaza City.

Israel sebelum ini mengarahkan kira-kira sejuta penduduk bergerak ke selatan ketika melancarkan salah satu serangan terbesarnya bulan ini, dengan alasan untuk menumpaskan pejuang Hamas di kawasan yang dianggap kubu terakhir mereka.

Tentera Israel dalam kenyataan pada Rabu turut memaklumkan telah memulakan operasi bagi memperkukuh dan mengekalkan kawalan ke atas Koridor Netzarim, iaitu laluan yang memisahkan utara dan selatan Gaza.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan antara 600,000 hingga 700,000 penduduk masih berada di Gaza City, selepas sehingga 400,000 orang melarikan diri sejak beberapa minggu lalu ekoran kemaraan tentera Israel yang turut memusnahkan bangunan di sepanjang laluan.

Kempen ketenteraan Israel yang kini memasuki tahun kedua dilaporkan telah meragut lebih 66,000 nyawa di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE