GENEVA, 3 Oktober- Hampir 42,000 penduduk Gaza mengalami kecederaan kekal akibat serangan berterusan Israel sejak dua tahun lalu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), angka itu mewakili satu per empat daripada 170,000 yang cedera, dengan kanak-kanak antara kumpulan paling ramai terkesan.
Lebih 5,000 orang terpaksa menjalani amputasi, namun jumlah sebenar dijangka lebih tinggi.
“Ramai mangsa memerlukan rehabilitasi sepanjang hayat,” kata Wakil WHO di Palestin, Richard Peeperkorn.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan, kecederaan paling banyak berlaku adalah disebabkan letupan pada tangan dan kaki.
Kecederaan lain termasuk saraf tunjang, otak, melecur teruk, selain kerosakan pada mata dan wajah yang membawa kecacatan kekal.
WHO turut memberi amaran, ketika keperluan rawatan semakin mendesak, sistem kesihatan Gaza hampir lumpuh.
Hanya 14 daripada 36 hospital yang masih beroperasi secara sebahagian dengan kekurangan tenaga pakar berada pada tahap membimbangkan.
"Gaza kini hanya mempunyai lapan pakar prostetik, sedangkan ribuan mangsa memerlukan anggota badan tiruan," menurut WHO.
Sejak 7 Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 66,000 penduduk Palestin. -AFP